PEMAIN tengah Marseille,  Lucas Ocampos mengelak terjahan dilakukan pertahanan  Bordeaux, Sergi Palencia. - FOTO AFP
PEMAIN tengah Marseille, Lucas Ocampos mengelak terjahan dilakukan pertahanan Bordeaux, Sergi Palencia. - FOTO AFP
AFP

MARSEILLE: Marseille menang kali pertama di tempat sendiri sejak November lalu selepas menewaskan Bordeaux 1-0 dalam aksi Ligue 1, awal pagi tadi.

Perlawanan berlangsung tanpa penonton di Stade Velodrome itu sebagai hukuman oleh liga bola sepak Perancis (LFP) akibat kekecohan ditimbulkan penyokong mereka ketika menewaskan Lille bulan lalu.

Perlawanan menentang Eintracht Frankfurt dalam aksi Liga Europa pada September depan turut berlangsung dalam stadium kosong angkara keganasan penyokong.

Jurulatih Rudi Garcia digantung dua perlawanan oleh LFP selepas tindakan kasarnya ke atas pengadil dalam perlawanan menentang Lille.

Garcia merungut tentang ketiadaan penonton dalam stadium yang berkapasiti 60,000 tempat duduk itu.

"Sangat tidak baik, tiga perlawanan tanpa penonton memang mengecewakan. Saya pernah menyatakannya kali pertama sebelum ini tetapi kali ini ia lebih buruk,” katanya.

"Bukanlah bola sepak tanpa penyokong dalam stadium. Penggantungan saya memang sukar tetapi yang paling sukar ialah ketiadaan penyokong.”

Skuad Garcia beraksi tanpa enam tonggak termasuk Mario Balotelli dan terpaksa mengharapkan jaringan pemain remaja Boubacar Kamara untuk kemenangan pertama mereka di tempat sendiri sejak menewaskan Dijon pada 11 November.

Bordeaux bermain dengan 10 orang dalam tempoh lebih satu jam selepas Samuel Kalu dilayangkan kad merah akibat kekasaran ke atas Lucas Ocampos.

Peluang terbaik Marseille dimiliki pada awal babak pertama apabila tandukan Hiroki Sakai diselamatkan di hujung jari oleh penjaga gol Benoit Costil.

Sakai melakukan penampilan pertama bersama Marseille selepas kembali dari tugasan Piala Asia bersama Jepun.

Jaringan pertama dalam liga oleh Kamara dicipta tiga minit sebelum rehat permainan hasil sepakan sudut Bouna Sarr yang kemudiannya ditanduk masuk Kamara.

Marseille melonjak ke tangga ketujuh liga dan akan berkunjung ke Dijon pada Jumaat ini dan Bordeaux kekal di tangga ke-12 sebelum menentang Paris Saint-Germain pada Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 8:10 AM