BAMBA (tengah) meraikan gol bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP
BAMBA (tengah) meraikan gol bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP
AFP

MONTPELLIER: Jaringan penalti di babak kedua dan masa kecederaan oleh Jonathan Bamba membantu Lille menumpaskan Marseille 3-0, untuk membolehkan mereka menduduki tempat kedua, Ligue 1, pagi tadi.

Ketika berkunjung ke utara Perancis, Marseille mahu mengurangkan jurang 11 mata dengan Paris Saint-Germain (PSG), namun hasrat mereka tidak kesampaian, selepas pendahulu liga itu terus mengukuhkan cengkaman dengan kemenangan 3-0 ke atas Nice, kelmarin.

Dalam aksi pagi tadi, jurulatih Marseille, Rudi Garcia, yang pernah membantu Lille meraih kejuaraan berganda pada 2011, tersentak dengan persembahan sederhana pemainnya, sekali gus menyaksikan mereka kini menduduki tempat keenam liga.

Lille, yang kini berada di kedudukan kedua, ketinggalan lapan mata di belakang PSG, manakala Montpellier satu mata ketinggalan di tangga ketiga, selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Nimes.

Dalam pertembungan pagi tadi, Marseille pada awalnya berjaya menunjukkan kelebihan mereka di bahagian serangan pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun, anak buah Garcia terpaksa akur dengan kekurangan kreativiti di padang, apabila Nicolas Pepe berjaya menyempurnakan penalti pada minit ke-65 dengan bijak memperdayakan penjaga gol, Steve Mandanda.

Tuan rumah menambah gol kedua pada minit ke-86, apabila Bamba menyempurnakan satu lagi sepakan penalti untuk menumpaskan Mandanda.

Lille melengkapkan kemenangan dengan penuh bergaya, apabila Fode Ballo-Toure memperdayakan pertahanan Jepun, Hiroki Sakai untuk melakukan hantaran pendek kepada Bamba di masa kecederaan.

Sebelum itu, bekas juara, Montpellier berisiko kehilangan tiga mata berikutan kekecohan penonton selepas mereka mencatat kemenangan 3-0 ke atas musuh tradisi, Nimes.

Ia adalah aksi pertama pertemuan tetangga 'Languedoc' selepas 25 tahun dan perlawanan berlangsung dengan penuh drama.

Pemain atau pegawai pasukan dilihat sudah bersedia dengan apa saja insiden yang bakal berlaku yang boleh membatalkan perlawanan, sekali gus akan memberikan kemenangan kepada Nimes.

Montpellier mendahului 3-0 selepas 79 minit aksi di atas padang, hasil jaringan Ambroise Oyongo, Andy Delort dan Gaetan Laborde.

Bagaimanapun, kejayaan meraih tiga mata seakan-akan tidak mencukupi buat sebahagian penonton, selepas menimbulkan kekecohan dengan memanjat penghadang untuk berlari masuk ke dalam padang.

Polis anti rusuhan Perancis segera bertindak dan Priseden Montpellier, Laurent Nicollin juga dilihat cuba untuk menenangkan penyokong.

Insiden itu mampu untuk menghadirkan hukuman ke atas Montpellier, yang kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu dan penyandang juara, PSG.

"Saya faham perasaan penonton, tetapi mereka harus mengawal tingkah laku. Kelab ini mungkin akan menerima hukuman, denda dan mungkin mereka akan menutup sebahagian kawasan stadium.

"Semua orang akan dihukum. Anda tidak boleh menyalahkan pemain, kerana mereka berjaya mendominasi perlawanan bermula dari awal hingga tamat," kata jurulatih Montpellier, Michel Der Zakarian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 9:45 AM