BALOTELLI (dua dari kanan) menanduk masuk gol tunggal Marseille. FOTO/AFP
BALOTELLI (dua dari kanan) menanduk masuk gol tunggal Marseille. FOTO/AFP
AFP

MARSEILLE: Prestasi merudum Marseille berterusan apabila tewas 1-2 di gelanggang sendiri kepada Lille dalam perlawanan yang menyaksikan peminat mula melancarkan protes, awal pagi tadi.

Perlawanan turut tertangguh selama lebih setengah jam selepas peminat mula melontar mercun ke tengah padang selain layangan kad merah serta gol daripada penyerang Itali, Mario Balotelli pada penampilan sulungnya.

Aksi berakhir dengan pemain Marseille bertelagah dengan pengadil, Amaury Delerue dan segelintir peminat mula menceroboh padang.

Lille menang menerusi gol sumbangan Nicolas Pepe pada kedua-dua minit terakhir permainan babak pertama dan kedua, pertama menerusi penalti dan kedua disebabkan kesilapan pemain Marseille.

Ketinggalan 0-2, Balotelli kemudian menanduk masuk gol sagu hati tuan rumah pada penampilan pertamanya sejak berpindah dari Nice berpunca daripada sepakan sudut.

Keputusan itu menyaksikan Lille kekal di tangga kedua Ligue 1 tetapi ketinggalan 10 mata di belakang Paris Saint-Germain yang memiliki kelebihan dua perlawanan tetapi mempunyai kelebihan enam mata di depan Lyon yang menghuni tangga ketiga.

“Konteksnya amat ganjil, tapi kami amat pragmatik,” kata jurulatih Lille, Christophe Galtier. “Kami bermain menentang Marseille yang amat lemah, amat lesu.”

Marseille dalam pada itu hanya menang sekali sejak hujung November lalu.

Kebanyakan sasaran amarah peminat disasarkan terhadap pemilik kelab, Frank McCourt dan Presiden Jacques-Henri Eyraud selain jurulatih Rudi Garcia.

Di satu kawasan tempat duduk, satu kain rentang dipaparkan peminat bertulis: “Senyap selama 90 minit atas kepimpinan yang mahu membunuh peminatnya sendiri.”

“Anda ditipu, kredibiliti anda dirosakkan,” tulis satu lagi kain rentang. “Pecat jurulatih.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 8:25 AM