SALAH kesakitan selepas dikasari  Masuaku. FOTO AFP
SALAH kesakitan selepas dikasari Masuaku. FOTO AFP
Agensi

London: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata dia tak 'faham' kritikan ke atas Mohamed Salah yang mendapatkan penalti ketika menewaskan West Ham dalam saingan Liga Perdana, pada Ahad lalu.

Pengendali Hammers, David Moyes mendakwa Salah merebahkan badan selepas diasak pertahanan, Arthur Masuaku.

Beberapa penganalisis sukan turut mengkritik penyerang Mesir itu sejak insiden itu.

"Apa boleh saya katakan? Ia memang kekasaran. Semua orang yang menyaksikannya berfikir ia kekasaran," kata Klopp.

"Percaya atau tidak, saya bercakap dengan Mo semalam apa yang dirasakannya. Terdapat tiga hentakan di kakinya.

"Salah satu daripadanya dalam situasi penalti. Itu hakikatnya, ada hentakan, anda jatuh atau tidak atau apa sahaja. Kadang-kadang pengadil memberikannya."

Salah kemudiannya meledak penalti untuk jaringan penyamaan sebelum Diogo Jota menjaringkan gol kemenangan di Anfield.

"Kami tidak bercakap banyak mengenai penalti yang kami sepatutnya dapat secara jujurnya, tetapi dua hari selepas perlawanan, kami bercakap mengenainya dan jelas ada kekasaran,'' tambah Klopp.

"Jadi apa lagi yang nak diperkatakan. Saya tak faham dengan kritikan itu.''

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 12:24 PM