VITINHA (dua dari kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
VITINHA (dua dari kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
Reuters

Marseille: Vitinha dan Goncalo Ramos menjaringkan gol pada babak kedua ketika Paris St Germain yang beraksi sepuluh pemain menewaskan Marseille 2-0 di tempat lawan dalam aksi Ligue 1 awal pagi tadi.

Kemenangan berganda PSG ke atas Marseille membolehkan mereka mengumpul 62 mata dan kini 12 mata di depan pasukan di tangga kedua Brest yang menang 1-0 di Lorient.

"Ya saya gembira dengan keputusan ini kerana ia klasik," kata pengurus PSG Luis Enrique. "Kami tahu ia istimewa kepada penyokong kami. Kami tahu tekanan beraksi di stadium ini kerana mereka belum tewas."

PSG bergelut memecah pertahanan tuan rumah dalam hujan di Stade Velodrome. Penjaring terbanyak Ligue 1 Kylian Mbappe juga kurang menyengat selepas dikawal ketat pertahanan lawan dan terpaksa digantikan selepas sejam perlawanan.

Lucas Beraldo dibuang padang lima minit sebelum rehat selepas melakukan kekasaran ke atas Pierre-Emerick Aubameyang. Namun Vitinha membuka tirai jaringan pada minit ke-53 selepas dia yang bergandingan satu dua dengan Ousmane Dembele melepaskan rembatan berhampiran kotak penalti.

Marseille cuba mencari gol penyamaan menerusi Aubameyang dan Faris Moumbagna yang mencipta beberapa peluang tetapi penjaga gol PSG Gianluigi Donnarumma cekal mengawal gawang.

Ramos melebarkan jaringan minit k-85 selepas mendapat hantaran cantik Marco Asensio untuk PSG meleburkan rekod tanpa kalah Marseille di tempat sendiri musim ini.

PSG selepas ini akan menentang Stade Rennais dalam aksi separuh akhir Piala Perancis pada Khamis ini manakala Marseille dengan 39 mata berkunjung ke Lille dalam aksi liga Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 1:07 PM