Reuters

PARIS: Olympique Lyonnais semakin ketinggalan dalam perebutan tempat kedua Ligue 1 selepas terikat 1-1 dengan Stade de Reims di laman sendiri manakala Lille di tangga kedua menang 3-1 di Caen.

Tiga hari selepas tersingkir daripada suku akhir Piala Liga, Lyon bermula langkah kiri apabila Pablo Chavarria meletakkan pelawat di depan pada minit ke-35.

Tuan rumah cuba bangkit selepas rehat dan usaha mereka berhasil apabila rembatan Bertrand Traore terkena Ghislain Conan untuk gol penyamaan 20 minit sebelum tamat permainan.

Reims hampir menambah jaringan menerusi percubaan pemain gantian Sheyi Ojo tetapi penjaga gol Lyon Anthony Lopes menyelamatkan keadaan.

Keputusan itu meletakkan Lyon di tangga ketiga dengan 33 mata daripada 19 perlawanan, empat mata di belakang Lille yang bermain lebih satu perlawanan. Reims kekal di tangga ketujuh dengan 27 mata.

Lille mendahului permainan dalam tempoh 20 minit pertama hasil jaringan Nicolas Pepe dan Rafael Leao.

Luiz Araujo menambah jaringan dalam masa kecederaan selepas Lille menyaksikan pemainnya Zeki Celik dibuang padang pada minit ke-85. Caen meledak gol sagu hati di saat akhir menerusi Casimir Ninga.

Lille ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Paris Saint-Germain yang bermain kurang tiga perlawanan dan akan bertemu Amiens hari ini.

“Ia berjalan dengan lancar, kami sedar kami perlu bertahan dengan baik,” kata pengendali Lille Christophe Galtier. “Saya berpuas hati dengan sikap pasukan dan walaupun sedikit kecewa apabila bermain dengan 10 orang di akhir permainan.”  

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 8:33 AM