PEMAIN AS Monaco, Djibril Sidibe (kiri) melepasi pertahanan Toulouse. FOTO/REUTERS
PEMAIN AS Monaco, Djibril Sidibe (kiri) melepasi pertahanan Toulouse. FOTO/REUTERS
AFP

PARIS: Permulaan buruk AS Monaco dalam Ligue 1 Perancis berterusan awal pagi tadi tatkala gol lewat permainan Aaron Leya Iseka memastikan Toulouse mengikat mereka 1-1.

Selepas menang 3-1 di Nantes dalam aksi pembukaan, skuad kendalian Leonardo Jardim tidak menang dalam empat perlawanan berturut-turut sekali gus menghuni kedudukan ke-15 liga dengan hanya lima mata.

Dengan kapten Radamel Falcao diketepikan kerana demam selain Stevan Jovetic, Rony Lopes dan Aleksandr Golovin semuanya cedera, Monaco menurunkan pemain berusia 18 tahun, Moussa Sylla untuk mengetuai jentera serangan di Stadium de Toulouse.

“Pemain sudah memberikan yang terbaik,” kata Jardim. “Faktor kehilangan khidmat pemain? Saya tidak akan merungut. Kami di sini untuk membantu pemain muda mempamerkan kemajuan.”

Monaco kini pastinya mengharapkan tonggak utama pasukan sempat kembali bagi aksi pembukaan Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini berdepan Atletico Madrid di Stade Louis II.

“Bagi perlawanan Selasa ini, kami perlu mengekalkan sikap dan semangat seperti ini, tapi perlu meningkatkan permainan dari sudut teknikal,” kata pengendali dari Portugal itu.

Monaco perlu menunggu hingga minit ke-57 untuk memecah kebuntuan menerusi percubaan kencang kaki kiri pemain kebangsaan Belgium, Youri Tielemans tetapi Toulouse berhak untuk meraih satu mata.

Leya Iseka, adik penyerang Belgium dan Chelsea, Michy Batshuayi, meledak gol penyamaan pada minit ke-79 untuk jaringan sulungnya buat Toulouse sejak berpindah dari Anderlecht, Jun lalu.

Terdahulu, jaringan penyamaan Ferland Mendy menyelamatkan Lyon untuk terikat 2-2 dengan pasukan yang terpaksa beraksi dengan sembilan pemain, Caen sekali gus gagal memperbaiki rentak buruk di awal musim.

Lille pula melonjak ke tangga kedua carta hasil ledakan hatrik Nicolas Pepe, termasuk dua gol menerusi penalti untuk membantu mereka mengatasi Amiens 3-2.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 9:28 AM