FRANZ TOST
FRANZ TOST
Agensi

PARIS: Toro Rosso kerugian lebih 2 juta euro (RM9.5 juta) susulan beberapa insiden kemalangan buruk membabitkan pemandunya sepanjang kempen Formula Satu 2018.

Pasukan sokongan Red Bull itu menamatkan tahun pertama kerjasama dengan Honda di kedudukan kesembilan kategori pengeluar selepas menghimpun 33 mata, dengan pencapaian terbaik Pierre Gasly di kedudukan keempat.

Bos Toro Rosso, Franz Tost mendedahkan kemenangan itu bagaimanapun dibayar dengan harga yang mahal termasuk insiden Gasly di Sepanyol dan Brendon Hartley di Kanada.

“Kami sudah membuat penilaian prestasi pasukan sepanjang musim ini dan beberapa perlumbaan yang kurang baik,” katanya kepada Autosport.

“Penilaian itu cukup jelas, apabila penamat keempat Gasly di Bahrain dianggap pencapaian terbaik dan dia juga beraksi baik di Monaco (keenam), Budapest dia meraih tempat keenam.

“Perlumbaan di Spa tidak kurang hebatnya, kerana kami tidak menjangkakan dia akan mengutip mata tapi mendapat kedudukan kesembilan, selain kejayaan kedudukan ke-10 di Mexico.

“Kemudian kami mengalami banyak insiden. Tahun ini kami membelanjakan 2.3 juta euro (RM10.9 juta) susulan kemalangan.

“Insiden antara Gasly dan Romain Grosjean di Barcelona, tidak banyak yang dapat dilakukan Gasly dan satu lagi insidennya dengan Ocon (pusingan pertama) di Perancis.

“Kemudiannya insiden buruk dengan (Lance) Stroll dan Hartley di Kanada dan situasi di Silverstone (yang mana Hartley mengalami kemalangan teruk pada sesi kelayakan selepas kegagalan sistem brek).”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 10:51 AM