PEMAIN Lyon, Nabil Fekir (tengah) cuba melepasi pemain Shakhtar Donetsk pada aksi Kumpulan F di Kiev. FOTO AFP
PEMAIN Lyon, Nabil Fekir (tengah) cuba melepasi pemain Shakhtar Donetsk pada aksi Kumpulan F di Kiev. FOTO AFP

AFP

PARIS: Lyon melangkah ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara selepas Nabil Fekir meledak gol penyamaan di babak kedua, ketika mengikat Shakhtar Donetsk 1-1, dalam aksi Kumpulan F di Kiev yang dipenuhi sajli, awal pagi tadi.

Pada masa sama, Bayern Munich juga terikat 3-3 menentang Ajax dan kekal selaku pasukan di tangga teratas Kumpulan E.

Lyon perlu mengelak daripada tumbang ketika menentang Shakhtar untuk layak selaku wakil Kumpulan F, bersama Manchester City dan keputusan seri buat kali kelima pada kempen kali ini sudah memadai untuk mencapai sasaran awal.

“Dalam keadaan yang teruk, kami menempuh detik sukar. Kami sendiri yang mencipta ketakutan ini dan lebih parah, kami juga gagal ‘membunuh’ terus perlawanan pada babak pertama,” kata pemain tengah Lyon Houssem Aouar.

“Tetapi, isu lebih penting ialah kami sudah layak,” katanya kepada RMC Sport.

Dalam pertembungan itu, Shakhtar hanya sekali melakukan percubaan di babak pertama, beberapa detik selepas percubaan penyerang Lyon, Bertrand Traore diselamatkan Andriy Pyatov - dalam situasi satu lawan satu.

Kesilapan pemain antarabangsa Burkina Faso ini pantas diambil peluang oleh Junior Moraes untuk meledak gol pertama tuan rumah pada minit ke-22.

Namun, Lyon kekal menguasai perlawanan, terus menekan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Nabil Fekir yang melakukan gerakan menarik bersama Memphis Depay pada minit ke-65.

Dalam masa sama, Man City mengesahkan kedudukan pasukan teratas kumpulan apabila menumbangkan Hoffenheim 2-1, di Etihad Stadium.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 8:04 AM