FEKIR (kanan) melepasi pertahanan Monaco. FOTO/REUTERS
FEKIR (kanan) melepasi pertahanan Monaco. FOTO/REUTERS
AFP

PARIS: Sepakan percuma terakhir Nabil Fekir memberikan tiga mata penting kepada Lyon dalam saingan Ligue 1 awal pagi tadi ketika kapten pasukan itu memastikan kemenangan 3-2 di laman sendiri mengatasi juara bertahan, Monaco.

Kekalahan pasukan tangga kedua dari selatan itu menawarkan Paris Saint-Germain peluang untuk mencipta jurang enam mata di Dijon hari ini.

Lyon, yang kali terakhir menang gelaran pada 2008, mendaki ke tangga ketiga selepas dua kali berturut-turut seri 3-3.

Dengan tumpuan kepada saingan Liga Juara-Juara di laman sendiri berdepan Besiktas awal pagi Rabu ini, Monaco merehatkan penyerang Radamel Falcao yang sudah menjaringkan 12 gol dalam lapan perlawanan liga namun bermain buat Colombia pada pertengahan minggu.

PEMAIN Monaco,  Joao Moutinho (tengah) dikekang pemain Lyon. FOTO/REUTERS
PEMAIN Monaco, Joao Moutinho (tengah) dikekang pemain Lyon. FOTO/REUTERS

Lyon bermula dengan baik ketika pemain baharu Mariano, yang dibeli dari Real Madrid, hampir mendapatkan jaringan awal selepas mencuri bola daripada Danijel Subasic tetapi sepakannya terkena palang.

Dia sekali lagi melakukannya dan menampan hantaran lintang Fekir pada minit ke-11 sebelum bintang baharu Monaco, Rony Lopes menyamakan kedudukan dari jarak dekat pada minit ke-17.

Fekir kemudian menyempurnakan pergerakan hebat Lyon dengan rembatan berhampiran kawasan penalti pada minit ke-23 sebelum Adama Traore meledak ke penjuru pada minit ke-34 untuk menyamakan kedudukan buat Monaco.

Babak kedua kurang menarik tetapi menghasilkan penamat yang hebat dengan sepakan percuma minit terakhir memberikan Lyon kemenangan kelima liga setakat ini.

“Tiga mata amat penting. Ia adalah keputusan yang hebat walaupun mereka kehilangan pemain utama,” kata Fekir kepada televisyen Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 11:56 AM