NABIL Fekir kini kembali. Foto AFP
NABIL Fekir kini kembali. Foto AFP
AFP

NABIL Fekir membuat penampilan pertama musim ini untuk membantu Lyon bangkit daripada kekalahan mengejut kepada Reims minggu lalu dengan kemenangan 2-0 ke atas Strasbourg dalam aksi Ligue 1.

Barisan bimbingan Bruno Genesio mencatat kemenangan kedua di laman sendiri hasil jaringan Martin Terrier dan Bertrand Traore sementara Fekir yang berpindah dari Liverpool musim lalu, diturunkan pada 11 minit terakhir.

Pasukan tuan rumah mendahului pada babak pertama apabila pemain pertahanan Ferland Mendy membuat hantaran tepat kepada Terrier, pemain yang dipinjamkan ke Strasbourg musim lalu, untuk gol pertama.

Bekas pemain Chelsea, Traore memastikan kemenangan tuan rumah dengan jaringan yang menakjubkan pada minit ke-64, menerima hantaran daripada Memphis Depay sebelum memperdaya pertahanan lawan dan penjaga gol, Matz Sels untuk gol kemenangan.

Fekir terlepas dua perlawanan awal musim ini selepas rehat panjang Piala Dunia, di mana dia membuat enam penampilan sebagai pemain gantian buat Perancis yang muncul juara.

Lyon, yang menamatkan saingan di kedudukan ketiga liga musim lalu dan layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, kini sudah memenangi lapan perlawanan terakhir Ligue 1 di laman sendiri.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 3:24 PM