PENYERANG Torino, Andrea Belotti (kiri) diasak pemain AC Milan, Tiemoue Bakayoko pada aksi Serie A di Milan. FOTO AFP
PENYERANG Torino, Andrea Belotti (kiri) diasak pemain AC Milan, Tiemoue Bakayoko pada aksi Serie A di Milan. FOTO AFP
AFP

MILAN: AC Milan terlepas peluang memberi tekanan terhadap pencabar setempat Inter Milan dalam Serie A selepas seri tanpa jaringan dengan Torino di San Siro, awal pagi tadi.

Pasukan kendalian Gennaro Gattuso itu menghuni tangga keempat, tiga mata di belakang Inter selepas mensia-siakan peluang memenangi perlawanan itu dengan penyerang Patrick Cutrone terlepas detik terbaik empat minit sebelum tamat manakala Gonzalo Higuain, yang kembali daripada penggantungan dua aksi, turut dinafikan pada lewat permainan.

Kegagalan Milan menjaringkan gol tidak digunakan sebaik mungkin oleh Torino, empat mata di belakang Milan di tangga keenam dan masih tidak kalah di gelanggang lawan, apabila penjaga gol tuan rumah Gianluigi Donnarumma menafikan percubaan Iago Falque dan Andrea Belotti.

“Saya tidak berasakan ia peluang yang disia-siakan, kerana anda sedia maklum Torino pasukan yang liat,” kata Gattuso.

“Ia mata yang bagus. Saya tidak lihat ia sebagai persembahan yang buruk sama sekali. Saya pasti setahun lalu, kami mungkin kalah perlawanan ini.”

Milan turut berpeluang menjarakkan diri daripada Lazio, yang seri 2-2 dengan Sampdoria kelmarin di sebalik mendahului pada minit kelima masa kecederaan dan AS Roma, yang mensia-siakan pendahuluan dua gol sebelum seri di Cagliari selepas pasukan dari Sardinia itu beraksi sembilan pemain.

Semuanya ketinggalan jauh di belakang Juventus, yang mendahului lapan mata di depan pasukan tangga kedua Napoli.

Terdahulu hatrik Duvan Zapata membantu Atalanta menang semula selepas dua kekalahan berturut-turut menentang bekas kelabnya Udinese sekali gus menyaksikan mereka menghampiri tempat terakhir ke Liga Juara-Juara, kini dihuni Milan.

“Zapata menikmati saat menyeronokkan,” kata jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini, selepas pemain dari Amerika Selatan itu turut meledak gol ketika kalah kepada Napoli minggu lalu, pasukan yang meminjamkannya kepada Udinese.

“Dia berada dalam keadaan hebat dan pilihan tambahan buat kami.”

Gol penyerang Colombia itu meletakkan pasukan Gasperini di tangga ketujuh, terikat 21 mata dengan tiga kelab lain dan lima mata di belakang Milan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 7:52 AM