RAZMAN (kiri) antara pemain berpengalaman bakal meninggalkan skuad Selangor bagi menghadapi Liga M, musim depan. FOTO Arkib NSTP.
RAZMAN (kiri) antara pemain berpengalaman bakal meninggalkan skuad Selangor bagi menghadapi Liga M, musim depan. FOTO Arkib NSTP.
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Skuad Liga Super Selangor bakal berwajah baharu pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan apabila Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengumumkan tujuh pemain akan meninggalkan pasukan itu.

Mendahului senarai pemain adalah penjaga gol, Norazlan Razali, tonggak pertahanan berpengalaman Razman Roslan dan bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Azamuddin Mohd Akil.

Melengkapkan senarai adalah bekas pemain tengah kebangsaan, Joseph Kalang Tie, Abdul Halim Zainal, Shahrul Igwan dan Mohd Fairuz Abdul Aziz yang berpengalaman luas dalam arena bola sepak tanah air.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan FAS hari ini, badan induk itu mengucapkan terima kasih kepada tujuh pemain berkenaan atas sumbangan mereka bersama skuad The Red Giants itu.

“Segala jasa dicurahkan buat pasukan ini akan terus kekal terpahat dan terbuku dalam sejarah Selangor selamanya.

“Bagai air yang dicincang, takkan putus. Begitulah hubungan kekeluargaan antara pemain ini bersama Selangor FA yang akan berkekalan selamanya. 

“Biarpun tidak memakai jersi  sama, mereka tetap menjadi sebahagian daripada keluarga besar Red Giants. Justeru, Selangor FA mendoakan mereka memperoleh kejayaan di tempat  baru,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, pada 23 NOvember lalu, FAS secara rasmi mengumumkan pelantikan B Sathianathan sebagai jurulatih baharu bagi menggantikan Nazliazmi Nasir yang akan menjadi penolong jurulatih.

Selepas pelantikan itu, Sathianathan berjanji akan membawa masuk lima pemain tempatan berkualiti selain pemain sayap Kedah, Syazwan Zainon.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 5:18 PM