DE Gea bakal menjadi penjaga gol termahal. FOTO/AGENSI
DE Gea bakal menjadi penjaga gol termahal. FOTO/AGENSI
Agensi

MANCHESTER: David De Gea bakal menjadi penjaga gol termahal dunia apabila dijangka menyertai Paris Saint-Germain selepas kontraknya bersama Manchester United tamat pada musim panas ini.

De Gea, 28, melengahkan proses menandatangani kontrak baharu di Old Trafford dengan tambahan gaji 300,000 pound (RM1.61 juta) seminggu menanti di PSG, yang mampu melepasi sekatan Fair Play Kewangan dengan menjual Neymar kepada Real Madrid dan membentuk pasukan dengan Kylian Mbappe sebagai tonggak utama.

Penjaga gol Sepanyol itu bakal menerima gaji 15.5 juta pound (RM83.3 juta) setahun daripada kelab gergasi Perancis itu yang dikatakan akan mengikatnya untuk tempoh empat tahun.

Kehilangan pemain berkualiti seperti De Gea pasti memberi tamparan hebat buat United dan pengendalinya Jose Mourinho, yang skuadnya sekali lagi tampil hambar apabila diikat tanpa jaringan oleh Crystal Palace di Old Trafford dan meletakkan mereka di tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris.

De Gea dianggap antara penjaga gol terbaik dunia, bangkit daripada permulaan kurang meyakinkan ketika mula menyertai United pada tahun 2011 untuk memenangi Liga Perdana, Piala FA, Piala Liga dan Liga Europa.

Perpindahan impiannya ke Real Madrid berkecai ketika jendela perpindahan pada 2015 dan peluang itu tertutup apabila Thibaut Courtois menyertai juara bertahan Liga Juara-Juara itu dari Chelsea musim panas lalu.

Dengan Juventus gembira Wojciech Szczesny berada di gawang mereka, PSG kini antara kelab berpotensi menandatangani persetujuan awal dengan De Gea menjelang Januari nanti.

PSG menandatangani legenda Itali Gianluigi Buffon dari Juventus musim panas lalu tetapi rancangan mereka hanya mahu menggunakan khidmat penjaga gol 40 tahun itu sebagai pilihan utama untuk semusim saja.

United sudah mula mencari pengganti De Gea dan antara calon terbaik menggantikannya ialah penjaga gol utama England Jordan Pickford. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 8:35 AM