DAVID DE GEA
DAVID DE GEA
Agensi

MANCHESTER: David De Gea makin pasti kekal bersama Manchester United selepas sumber memaklumkan penjaga gol itu tidak yakin dengan perpindahannya dari Old Trafford ke Juventus ataupun Paris Saint-Germain.

United berusaha mengelak pemain berusia 28 tahun itu meninggalkan kelab pada musim panas ini dengan menjamin khidmatnya akan kekal sehingga Jun 2020 dan lanjutan kontrak selama setahun bulan lalu.  

Namun kelab tetap mahu berunding untuk satu tempoh lebih panjang bersama De Gea yang kini menjadi penjaga gol terbaik dunia menurut ESPN FC 100 - antara penyebab utama United mahu mengikatnya sehingga dia berusia 30-an. 

United sedar Juventus dan lawan mereka pada pusingan 16 terbaik di Liga Juara-Juara PSG ingin mendapatkan khidmat De Gea yang mula beraksi di Old Trafford dengan nilai perpindahan £18.3 (RM97.1 juta) dari Atletico Madrid pada 2011.

Bagaimanapun sebelum pemecatan pengurus Jose Mourinho Selasa lalu, barisan utama United menyedari kesediaan De Gea mempertimbangkan tawaran baru £350,000 (RM1.8 juta) seminggu untuk terus kekal bersama kelab itu. 

De Gea sebelum ini pernah menyatakan keinginannya untuk kembali ke Sepanyol apabila teman wanitanya Edurne Garcia mahu terus menetap di Madrid. 

Namun hasratnya itu tidak kesampaian apabila Real Madrid pada Ogos 2015 gagal melengkapkan kertas kerja bagi mendapatkan khidmatnya sebelum tarikh akhir perpindahan. 

Madrid selepas itu mengikat pemain antarabangsa Belgium, Thibaut Courtois dari Chelsea dan Barcelona gembira dapat menyambar penjaga gol Jerman, Marc-Andre ter Stegen dan De Gea akhirnya menerima hakikat peluangnya kembali ke negara asalnya sangat terhad. 

Dengan United kini sedang bergelut untuk layak beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara tahun depan, De Gea memerlukan jaminan berhubung perancangan masa depan kelab itu selepas pemecatan Mourinho. 

Ia satu cabaran terbesar sebelum kontrak baru ditandatangani. 

Namun menurut sumber memaklumkan bahawa Juventus tidak mungkin dapat mengatasi kontrak yang ditawarkan United manakala PSG semakin kurang berminat selepas juara Perancis itu mengumumkan bahawa Areola, 25, sudahpun mengikat kontrak baru sehingga 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 11:17 AM