PEMAIN naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh (tengah) gigih menjalani sesi latihan rakan sepasukan. FOTO Muhamamad Zuhairi Zuber
PEMAIN naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh (tengah) gigih menjalani sesi latihan rakan sepasukan. FOTO Muhamamad Zuhairi Zuber
Zulfaizan Mansor


NILAI: Skuad bola sepak kebangsaan boleh menarik nafas lega selepas pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh hampir pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring.

Perkhabaran gembira itu dimaklumkan jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang sudah pasti sangat mengharapkan bisa pemain kelahiran Gambia itu untuk menjayakan misi wajib menang ke atas Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Malah, Cheng Hoe menaruh keyakinan tinggi Sumareh bakal tampil dengan persembahan lebih baik selepas gagal meledak sebarang jaringan sepanjang kempen Piala AFF.

"Saya nampak Sumareh semakin pulih dari segi tahap kecergasan dan kecederaan. Jadi, kita boleh lihat Sumareh yang sebenar apabila berdepan Myanmar nanti," kata Cheng Hoe ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.

"Kita juga akan menilai prestasi semua pemain untuk diletakkan dalam kesebelasan utama termasuk penjaga gol. Saya rasa kita mempunyai tiga penjaga gol terbaik di Malaysia.

"Semua pemain ada peluang, bukan saja untuk posisi penjaga gol dan tempoh dua hari lagi saya akan menentukan pemain yang akan menggalas perancangan dan strategi pasukan."

Malaysia wajib meraih kemenangan ke atas Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan A untuk melayakkan diri ke separuh akhir.

Malaysia kini mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Kemboja dan Laos, ketinggalan satu mata di belakang dua pasukan teratas kumpulan Myanmar dan Vietnam.

Sementara itu, Sumareh menjelaskan dia hanya mengharapkan bantuan tayangan video untuk mengetahui kekuatan dan kelemahan Myanmar kerana belum pernah menentang pasukan itu sebelum ini.

"Saya tidak pernah beraksi berdepan Myanmar dan saya tidak tahu apa-apa mengenai mereka. Saya yakin jurulatih akan buat tayangan video sebagai kajian untuk kami sebelum perlawanan.

"Ia (tayangan video aksi Myanmar) akan memberi kami idea mengenai apa yang perlu dilakukan dalam mengeksploitasi segala kelemahan dan kekuatan yang dimiliki Myanmar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 7:57 PM