SETIAUSAHA Agung FAM, Stuart Ramalingam. FOTO Mahzir Mat Isa
SETIAUSAHA Agung FAM, Stuart Ramalingam. FOTO Mahzir Mat Isa
Aziman Rosdi


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kecewa dengan kenyataan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang mendakwa keengganan badan induk itu bekerjasama menjadi punca wujudnya kesulitan dalam penjualan tiket perlawanan Piala AFF 2018.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya mengambil kira pelbagai aspek termasuk kos harga tiket buat penyokong dalam menentukan cara  penjualan tiket dikendalikan.

“FAM agak kecewa bila PSM membuat kenyataan sedemikian sedangkan kami adalah penyewa atau pelanggan setia mereka. PSM boleh berbincang terus dengan FAM tanpa perlu membuat kenyataan terbuka seperti itu.

“Memang diakui, sistem jualan tiket yang digunakan oleh PSM menerusi  khidmat syarikat Seat Advisor lagi bagus tapi ia tidak boleh dibandingkan dengan sistem jualan yang kami guna sekarang iaitu Ticket Hotline.

“Kami mengambil kira kos caj yang akan dikenakan kepada penyokong adalah lebih tinggi hampir RM3 jika menggunakan cara penjualan tiket oleh PSM. Malah ia agak tidak adil kerana caj itu bukan saja dikenakan menerusi pembelian tiket dalam talian malah pembelian tiket di kaunter sedangkan  kami tidak mengenakan caj bagi pembelian tiket di kaunter,” katanya kepada Sukan NSTP hari ini.

Sebelum ini timbul rungutan penyokong ketika mahu melakukan pembayaran serta sistem penebusan tiket yang didakwa menyusahkan sehingga mendorong PSM mengeluarkan kenyataan untuk menafikan bahawa mereka bertanggung jawab dalam penjualan tiket berkenaan.

Menurut Stuart, mereka sudah mengadakan rundingan bersama PSM mengenai penjualan tiket Piala AFF 2018 namun gagal mencapai persetujuan bersama.

“Kami juga berdepan masalah ketika menyewa Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum ini tapi kami tidak pernah menghebohkan secara umum. Penyewaan stadium mahal sedikit tapi kami tidak masukkan kos itu dalam harga tiket kerana kami tidak mahu penyokong terbeban.

“Jika kami menjual 60,000 tiket dan caj jualan RM3, kami terpaksa membayar sebanyak RM180,000 kepada PSM, ia satu caj yang besar. Pada saya, kami tiada masalah untuk bekerjasama dengan PSM, tapi tindakan ‘menyerang’ FAM secara terbuka itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Setakat hari ini, lebih kurang 40,000 tiket perlawanan Kumpulan A Piala AFF antara Malaysia dengan Myanmar di SNBJ pada Sabtu ini sudah habis dijual.

Tiket grandstand berharga RM30 sudah habis dijual manakala penjualan tiket bagi tempat duduk terbuka ( RM20) dan tiket kanan-kanak (RM5) akan diteruskan di Kaunter Tiket Pintu A & E di SNBJ, esok bermula jam 10 pagi hingga 5 petang dan pada hari perlawanan sehingga tiket habis terjual.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 7:10 PM