LIONEL MESSI
LIONEL MESSI

MADRID: Diego Maradona berkata dia “sayangkan” Lionel Messi dan menggambarkan kenyataan “salah” mengenai komen dilontarkan kepadanya yang menyerang rakan senegara Argentina serta legenda Barcelona itu.

“Leo ialah kawan saya dan saya tidak pernah memburukkan kawan,” kata Maradona kepada akhbar sukan Sepanyol, Marca awal pagi tadi.

Bulan lalu Maradona dikatakan memberitahu Fox Sports di Mexico bahawa Messi “bukan pemimpin... tidak berguna untuk cuba menjadikan seseorang pemimpin yang akan ke bilik air 20 kali sebelum perlawanan.”

Dia memberitahu Marca bahawa “semua itu salah.” 

Maradona turut memohon rakan senegaranya itu kembali ke pasukan kebangsaan selepas tidak bermain dalam tiga perlawanan antarabangsa sejak Argentina tersingkir pada peringkat kumpulan Piala Dunia di Russia.

“Apa yang saya katakan ialah Leo satu fenomena. Dan ada pemain yang akan ke bilik air 20 kali, tetapi saya tidak pernah merujuk ia kepada Leo.

“Saya rasa dia patut kembali, kerana jika tidak kami akan berdepan masalah,” katanya.

Maradona, yang mengetuai Argentina mencipta kejayaan pada Piala Dunia 1986 kini berada di Mexico dengan melatih pasukan divisyen dua, Sinaloa. - AFP 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 11:52 AM