MARADONA bersama anaknya Diego. FOTO Rex Features
MARADONA bersama anaknya Diego. FOTO Rex Features
Agensi

London: Salah seorang anak lelaki Diego Maradona menggesa Lionel Messi tidak lagi memakai jersi nombor 10 bersama Argentina dan Barcelona sebagai tanda penghormatan terhadap ayahnya.

Maradona yang meninggal dunia minggu lalu pada usia 60 tahun paling dikenali ketika menjuarai Piala Dunia 1986 sehingga dianggap pemain terbaik dunia.

Messi kini mengisi kekosongan ditinggalkan Maradona dalam skuad kebangsaan namun masih gagal menikmati kejayaan yang sama bersama jersi biru putih itu.

Maradona turut memenangi Copa Del Rey bersama Barca menggunakan jersi nombor 10 namun jauh daripada koleksi 34 trofi Messi.

Anak legenda itu yang juga bernama Diego percaya semua bekas pasukannya tidak lagi menggunakan jersi sama bagi memperingati ayahnya.

Menurut laporan Marca, dia berkata: "Ya, kepada semua pasukan dia beraksi termasuk Barça. Saya tak ragu mengenainya."

Maradona memulakan karier bersama Argentinos Juniors sebelum beraksi di Boca Juniors, Barca, Napoli, Sevilla dan Newell's Old Boys.

Messi memberi penghormatan kepada Maradona dengan mempamerkan jersi Newell's Old Boys selepas menjaringkan gol ketika menewaskan Osasuna 4-0, Ahad lalu.

Anak Maradona mendakwa tindakan Messi itu membuatkan air matanya mengalir.

"Penghormatan Messi itu memberi kesan kepada saya. Detik penuh emosi sejak beberapa hari lalu. Apa yang dilakukan Leo sangat istimewa. Ia membuatkan saya menangis."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 2:34 PM