PEMAIN Argentina, Lionel Messi. FOTO Reuters
PEMAIN Argentina, Lionel Messi. FOTO Reuters
Reuters

LONDON: Legenda Argentina, Diego Maradona mengecam pemain senegara, Lionel Messi dengan menyatakan penyerang itu bukan ketua di dalam padang dan tidak seharusnya dianggap sebagai tuhan bola sepak.

Maradona yang dilabel antara seorang daripada pemain terbaik sepanjang zaman bersama legenda Brazil, Pele berkata, Messi adalah pemain yang berbeza ketika bersama kelabnya Barcelona jika dibandingkan dengan skuad kebangsaan.

"Kita tidak perlu lagi mendewa-dewakan Messi," kata Maradona dalam satu temuramah dengan Fox Sports. "Dia adalah Messi apabila bermain untuk Barcelona. Messi adalah Messi apabila menyarung jersi kelabnya dan menjadi Messi yang lain ketika bersama Argentina."

"Dia adalah pemain hebat tapi bukan seorang ketua. Ia hanya langkah sia-sia untuk mengangkat seseorang itu sebagai ketua tapi pergi ke tandas sebanyak 20 kali sebelum perlawanan."

Kenyataan itu dipercayai dilemparkan kepada Messi yang mengalami masalah gugup sebelum perlawanan sehingga muntah menjelang beberapa perlawanan penting.

Messi, 31, berjaya meraih banyak penghormatan dengan Barcelona dan menerima anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA sebanyak lima kali.

Tapi dia bergelut untuk memberikan persembahan terbaik apabila menyarung jersi biru dan putih Argentina.

Messi tewas dalam semua empat final dengan Argentina iaitu tiga dalam kempen Copa America dan Piala Dunia 2014 selain tidak menjaringkan gol di peringkat kalah mati dalam empat kejohanan Piala Dunia.

Selepas satu lagi persembahan mengecewakan di Russia tahun ini ketika Argentina gagal melepasi peringkat 16 pasukan terakhir, Messi membuat keputusan untuk berehat daripada arena bola sepak antarabangsa.

Maradona yang baru-baru ini dilantik sebagai jurulatih kelab divisyen dua Mexico, Dorados berkata keputusan Messi untuk berehat itu adalah bagus.

"Kita tidak perlu memanggilnya buat masa ini, tapi saya tidak mengatakan ia untuk selama-lamanya. Kita perlu meredakan tekanannya," katanya.

Argentina yang berwajah baru mengalahkan Iraq 4-0 pada Khamis lalu sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan sejak kejohanan di Russia.

Mereka bakal berdepan ujian besar Selasa ini menentang Brazil di Arab Saudi tanpa Messi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 12:08 AM