WISMA FAM sekali lagi bakal menerima Presiden baharu. FOTO Osman Adnan
WISMA FAM sekali lagi bakal menerima Presiden baharu. FOTO Osman Adnan
Syafiq Aznan


JUMLAH pencalonan terbesar bagi jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang diterima Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin dilihat masih belum menjanjikan 'tiket automatik' untuk beliau menduduki kerusi panas itu.

Tegas bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad, jumlah pencalonan yang diterima Hamidin itu bukanlah gambaran sebenar kerana berkemungkinan beberapa perkara di luar jangkaan mampu berlaku pada pemilihan yang akan dilaksanakan pada Kongres FAM, 14 Julai ini.

"Pada awalnya, kita menjangkakan tidak ada pertembungan bagi jawatan Presiden FAM namun akhirnya, pertembungan tiga penjuru yang berlaku apabila ada ahli gabungan yang mengambil keputusan untuk mencalonkan individu pilihan mereka.

"Berdasarkan senario yang pernah berlaku, jumlah pencalonan yang tinggi kadang kala tidak dapat memberi bayangan apa yang akan terjadi semasa berlangsungnya pemilihan kerana ada calon pilihan yang pernah tumbang dalam sesi pemilihan sebelum ini.

"Saya tidak terkejut dengan situasi ini kerana tidak logik untuk menyatakan bahawa tiada calon yang akan mencabar Hamidin untuk jawatan itu. Namun secara tidak langsung ia menyajikan persaingan yang sihat sekali gus menepati prinsip demokrasi.

"Bagaimanapun, semuanya terserah kepada ahli gabungan yang akan melakukan pemilihan bagi memilih calon terbaik yang dirasakan mampu untuk memberi nafas baharu kepada FAM," katanya ketika dihubungi hari ini.

Daripada 20 ahli gabungan badan induk itu, Hamidin mendapat 18 pencalonan sementara dua lagi pencabarnya iaitu Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa masing-masing mendapat satu pencalonan.

Sebelum ini, Sukan NSTP melaporkan persaingan sengit tiga penjuru bakal disaksikan bagi merebut jawatan Presiden FAM apabila Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) membuat keputusan mengejut mencalonkan  Annuar pada saat akhir sebelum tempoh pencalonan ditutup semalam.

Pencalonan Annuar yang juga adalah bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) itu dibuat sehari selepas Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mencalonkan Abdul Azim untuk berdepan calon pilihan Exco FAM iaitu Hamidin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 7:52 PM