MESSI (kanan) merai jaringan bersama Neymar.
MESSI (kanan) merai jaringan bersama Neymar.
AFP

Barcelona: Barcelona terus menguasai saingan memburu gelaran La Liga Sepanyol apabila jaringan Lionel Messi dan Luis Suarez membantu mereka bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 ke atas Atletico Madrid yang beraksi dengan sembilan pemain awal pagi semalam.

Koke memberikan gol pendahuluan buat pasukan pelawat, namun Barca mengubah keputusan perlawanan hasil dua gol dalam tempoh lapan minit daripada Messi dan Suarez sebelum separuh masa pertama berakhir.

Harapan Atletico merampas satu mata musnah apabila Filipe Luis dan Diego Godin dibuang padang kerana bertindak kasar pada kedua-dua separuh masa.

Kemenangan itu membantu Barca tiga mata mendahului Atletico di puncak liga, kurang satu perlawanan dan tujuh mata mengatasi Real Madrid di tangga ketiga.

“Jelas sekali ia hari penting untuk mengutip mata ke atas pencabar terdekat, namun perjalanan masih panjang,” kata jurulatih Barca Luis Enrique.

“Setiap perlawanan mempunyai tahap kesukaran tersendiri dan bukan selalunya anda dapat menanganinya dengan cara terbaik atau menakjubkan.”

Sementara itu jurulatih Atletico Diego Simeone enggan menyalahkan Luis dan Godin kerana menyebabkan pasukannya pincang ketika berdepan juara Eropah itu.

“Biarpun dengan sembilan pemain, kami masih mengekalkan corak permainan. Anda boleh menang atau kalah dalam perlawanan ini tapi saya lebih suka kalah sebegini.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 6:34 AM