MINA (depan) diasak pemain Barca, Neymar pada pertembungan semalam.
MINA (depan) diasak pemain Barca, Neymar pada pertembungan semalam.
AFP

Madrid: Jurulatih baru Valencia Gary Neville menyaksikan gol penyamaan yang disumbangkan Santi Mina ketika skuad yang akan dibimbingnya itu berjaya mengikat juara Liga Juara-Juara Barcelona 1-1 pada aksi La Liga Sepanyol, awal pagi semalam.

Sebelum itu, Luis Suarez mencetus kontroversi apabila menjaringkan gol ketika dilihat berada dalam kedudukan ofsaid tetapi usaha Valencia akhirnya membuahkan hasil selepas Mina meledak gol penyamaan lima minit sebelum tamat.

Real Madrid pula kini hanya ketinggalan empat mata di belakang Barcelona selepas bangkit daripada tersingkir pada saingan Piala Raja Sepanyol apabila membenam Getafe 4-1 dengan tonggak utama seperti Karim Benzema, Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo meledak gol.

Bagaimanapun, Real kekal menduduki tangga ketiga, dua mata di belakang Atletico Madrid yang menang 2-0 ke atas Granada hasil jaringan Diego Godin dan Antoine Griezmann.

Neville hanya memegang jawatan itu secara rasmi bermula semalam ketika tugas pengendali sementara dipikul Voro dan adiknya Phil Neville.

“Kami bermain di gelanggang sukar. Kami mendominasi permainan dan mempunyai lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol.

“Bagaimanapun Valencia mempamerkan aksi mengagumkan,” ujar jurulatih Barcelona Luis Enrique.

Atletico kekal berada di depan Real menerusi kemenangan terbaru yang juga keenam berturut-turut daripada tujuh perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 5:05 AM