GAYA Suarez meraikan gol keduanya.  FOTO AFP
GAYA Suarez meraikan gol keduanya. FOTO AFP
AFP

Madrid: Luis Suarez menjaringkan dua gol ketika Atletico Madrid bangkit menewaskan Getafe 2-1 dan melonjak ke tangga teratas La Liga awal pagi tadi.

Tuan rumah, Getafe terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Stefan Mitrovic sebelum rehat tetapi permainan bertukar selepas Carles Alena dibuang padang minit ke-74.

Juara bertahan Atletico kini satu mata di depan pencabar liga, Real Madrid yang akan menerima kunjungan Real Mallorca pagi esok.

"Pada babak pertama, pergerakan kami tidak lancar, kurang dinamik sehinggalah lawan menjaringkan gol,'' kata jurulatih Atletico Diego Simeone.

"Pada babak kedua, kami mendapat lebih rentak, intensiti dan lebih berkesan ketika menyerang.''

Keputusan seri tanpa jaringan menentang Athletic Bilbao Ahad lalu menyaksikan mereka ketinggalan dua mata di belakang Real dan anak buah Simeone sekali lagi mengecewakan dalam tempoh lama di tempat lawan.

Aksi hambar pelawat pada babak pertama dihukum Mitrovic yang menanduk masuk gol pendahuluan tuan rumah namun mereka tidak bernasib baik apabila bekas pemain tengah Barcelona, Alena dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain Brazil, Matheus Cunha.

Empat minit selepas itu Suarez yang mendapat hantaran Mario Hermoso meledak rembatan untuk gol penyamaan dan ketika perlawanan hampir ditamatkan, bintang Uruguay itu muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi tandukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 8:24 AM