NOVAK DJOKOVIC
NOVAK DJOKOVIC
AFP

MELBOURNE: Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic mara ke separuh akhir Terbuka Australia hari ini apabila Kei Nishikori yang cedera menarik diri selepas ketinggalan 6-1, 4-1 dalam tempoh 51 minit.

Nishikori melalui pertembungan epik lima set selama 13 jam 47 minit di gelanggang sebelum saingan suku akhir dan mengalami ketegangan di bahagian paha pada set pertama ketika saingan panjang itu mula memberi kesan kepadanya.

Pilihan kelapan itu mula mengalami kesukaran pada set pertama dan tewas dalam tempoh 31 minit.

Selepas berehat untuk pemeriksaan perubatan dan rawatan selama tiga minit oleh fisioterapi, Nishikori bermain pada set kedua dengan paha kanannya berbalut selain cuba untuk meneruskan permainan.

Dia tampak boleh bergerak dengan bebas tetapi ia tidak bertahan lama.

NISHIKORI terpaksa tarik diri akibat kecederaan paha. -Foto EPA
NISHIKORI terpaksa tarik diri akibat kecederaan paha. -Foto EPA

Selepas ketinggalan 2-1 kepada pemain Serbia yang juga juara 14 kali Grand Slam itu, Nishikori hampir tidak mampu bergerak.

Ketika Djokovic sekali lagi mendahului 4-1, ia terbukti penamat buat usaha berani Nishikori.

Dengan semua usaha mencari kemenangan sudah tiada, pasangan itu bersalaman di jaring dan pemain nombor satu Jepun itu mengambil keputusan dia tidak mahu mengambil risiko kerana mungkin akan menyebabkan lebih banyak kecederaan berpanjangan.

“Saya suka bertarung, terutama menentang Kei, kami banyak bertemu dalam karier kami,” kata pemain Serbia itu yang mengejar rekod kemenangan ketujuh dalam Terbuka Australia.

“Saya harap anda akan pulih. Saya harap ia bukanlah sesuatu yang serius yang akan mengambil masa lama. Saya harap dia akan segera pulih.

“Saya meminta maaf kepada semua orang kerana tidak mendapat perlawanan penuh malam ini tetapi terima kasih kerana datang.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 7:07 PM