GAVIN mahu bantu kembangkan bakat pemain muda tempatan. FOTO/FAIL
GAVIN mahu bantu kembangkan bakat pemain muda tempatan. FOTO/FAIL
Farah Azharie


KUALA LUMPUR: Pemain golf nombor satu negara Gavin Green bakal menganjurkan kejohanannya sendiri bagi membuka ruang kepada pemain-pemain muda tempatan untuk mengasah bakat mereka.

Pemain hasil program SportExcel itu berkata, sudah lama dia mengimpikan untuk membantu sirkit golf remaja negara yang menjadi tapak permulaannya dan dia berharap kejohanan sulungnya itu akan membuka laluan kepada pemain tempatan untuk mencapai tahap lebih tinggi.

“Ini sesuatu yang sudah lama saya ingin lakukan,” kata Gavin, pemain 24 tahun yang mendapat kad Jelajah Eropah selepas memenangi Order of Merit Jelajah Asia berikutan kemenangan profesional pertamanya di Terbuka Taiwan 2017.

“Ketika menjadi pemain profesional pada tahun 2015, saya sudah mula merancangnya tetapi perlu menanti masa yang sesuai dan saya rasa sekarang adalah masanya.

“Saya ingin menyumbang semula kepada sukan yang sudah memberikan banyak peluang dan pengalaman kepada saya.”

Kejohanan Gavin Green akan berlangsung di lapangan TPC Kuala Lumpur dari 18-20 Disember. Walaupun hanya dibuka kepada 130 pemain, lebih 240 pemain muda sudah mendaftarkan diri untuk kejohanan itu.

Selain kejayaan di peringkat Asia, Gavin turut melakar nama sebagai pemain kedua selepas Danny Chia pada tahun 2010, beraksi di Terbuka British di mana dia menamatkan saingan edisi ke-147 itu terikat di tempat ke-61. 

Ogos lalu Gavin menamatkan saingan Czech Masters di tempat ketiga dan terikat di tangga kesembilan pada British Masters dua minggu lalu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 8:04 PM