MAURICIO POCHETTINO
MAURICIO POCHETTINO

LONDON: Pengurus Tottenham Mauricio Pochettino tidak berpuas hati dengan prestasi pasukannya ketika menewaskan Cardiff malam tadi dan mahu anak buahnya mempamerkan aksi lebih menyengat pada perlawanan berikutnya.

Eric Dier menjaringkan gol tunggal permainan pada minit kelapan untuk kemenangan 1-0 ke atas Cardiff yang terpaksa bermain 10 orang selepas Joe Ralls dibuang padang pada minit ke-58. Cardiff kekal tanpa kemenangan dan terperosok di tangga terbawah Liga Perdana.

Perlawanan seterusnya ialah menentang West Ham pada 20 Oktober selepas rehat antarabangsa, perlawanan pertama mereka daripada tujuh perlawanan dalam tempoh 22 hari.

 "Kami berbeza satu mata dengan pendahulu Liga Perdana tetapi kami perlu tampil lebih baik,” kata Pochettino. "Kini kami mempunyai dua minggu sebelum perlawanan seterusnya – ia jadual yang sukar apabila kami kembali.”

Sementara itu pengendali Cardiff Neil Warnock menyelar kapten England Harry Kane yang mendesak pengadil melayangkan kad merah kepada Ralls kerana mengasari Lucas Moura.

Kane dilayangkan kad kuning kerana tindak balasnya ke atas Ralls, tetapi Warnock berang dengan tindakan pemain-pemain Spurs yang mengerumuni pengadil Mike Dean, pada awalnya kelihatan seperti hanya mahu melayangkan kad kuning kepada Ralls.

“Ia tidak membantu apabila dikerumuni 15 pemain jersi putih,” kata Warnock. “Dia (Kane) buat begitu untuk menimbulkan isu. Seorang pemain England melulu begitu… kemudian dia memegangnya, mengapa tidak memberikannya kad merah?

"Saya rasa dia tidak perlu berbuat demikian, dia pemain yang hebat. Saya suka dia bermain untuk England. Hanya kerana permainannya tidak menjadi dan Spurs mengharungi perlawanan yang buruk, jangan lepaskan geram kepada kami.” – AGENSI

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 2:21 PM