VAN Huizen tunggu pengumuman MHC. FOTO/FAIL
VAN Huizen tunggu pengumuman MHC. FOTO/FAIL
Naqib Nor Said


STEPHEN Van Huizen menafikan dakwaan bahawa beliau akan lari daripada tanggungjawabnya sebagai ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, selagi khidmatnya diperlukan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Sejak semalam, timbul ura-ura tempat pengendali berusia 60 tahun itu mungkin digantikan bekas ketua jurulatih Pakistan, Roelant Oltmans yang dikatakan sudah berada di ibu negara.

Namun, bagi Van Huizen, segala-galanya terserah kepada MHC biarpun dikhabarkan badan induk itu akan membuat satu pengumuman penting pada sidang media khas di pejabatnya jam 2 petang ini.

"Saya tidak pernah kata saya akan menyerah kalah, tetapi pada akhirnya saya akan tetap menghormati apa jua keputusan dibuat majikan saya (MHC).

"Apabila sudah sampai masanya anda kena pergi, memang kena pergi. Mana boleh anda mahu menjadi jurulatih sampai bila-bila, lagipun anda ada majikan dan majikan akan membuat keputusan berdasarkan KPI yang ditetapkannya.

"Bagaimanapun, ia adalah satu penghormatan besar untuk menjadi ketua jurulatih skuad negara dengan ia tanggungjawab yang diberikan MHC kepada saya.

"Cuma ingin saya jelaskan sebelum ini saya tidak ke Kejohanan Terbuka Antarabangsa Darwin di Australia adalah kerana saya perlu berada di sisi isteri saya yang menjalani pembedahan.

“Jadi, kalau ada orang fikir saya mahu lari daripada tugasan, itu adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Van Huizen yang kini dalam tempoh ketiga sebagai ketua jurulatih skuad Malaysian Tigers dilantik sejak penghujung tahun 2015 dan merakam beberapa kejayaan besar bersama pasukan sepanjang tempoh itu termasuk hampir membolot pingat emas Sukan Asia 2018 di Indonesia baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 12:49 PM