TENGKU Ahmad Tajuddin (kanan) mewakili Al Nasr.
TENGKU Ahmad Tajuddin (kanan) mewakili Al Nasr.
Naqib Nor Said


TENGKU Ahmad Tajuddin Abd Jalil muncul pemain kesepuluh dari Malaysia yang akan menghangatkan saingan Liga Hoki Oman selepas mendapat ‘restu’ Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Berbanding tujuh pemain lain yang memilih kelab Al Seeb dan Kelab Hoki Sohar, penyerang kebangsaan berusia 31 tahun itu bagaimanapun akan beraksi bersama Al Nasr, pasukan yang turut dianggotai pakar flick negara, Razie Rahim dan Rafizul Ezry Mustafa.

“Saya sudah mendapat kebenaran daripada MHC dan Insya-Allah pada Rabu depan kami akan bertolak ke Oman untuk mewakili pasukan Al Nasr.

“Sasaran saya di sana, hanyalah untuk menikmati permainan sambil mengekalkan kecergasan sebelum bermula saingan Liga Hoki Malaysia 2018,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Daripada sepuluh pemain Malaysia yang berkelana ke Oman, hanya empat daripadanya adalah pemain kebangsaan manakala enam lagi adalah bekas pemain skuad Projek 2013 dan Projek 2016.

Bagaimanapun, ketiadaan empat pemain berkenaan tidak menjejaskan kem latihan negara dengan Stephen Van Huizen masih mempunyai baki 24 pelatih untuk meneruskan latihan.

Malah, Stephen turut menjelaskan pemergian empat tonggak pasukan yang membantu Malaysia muncul naib juara Piala Asia 2017 itu tidak bermakna mereka terlepas daripada program latihannya.

“Saya sudah letakkan syarat kepada mereka untuk terus mengikuti program kecergasan yang kita tetapkan sejak awal sebelum memberi pelepasan, jadi saya fikir tiada masalah untuk mereka kekalkan kecergasan,”kata Stephen.

Selain mereka bertiga, bumi Oman juga kini dibanjiri pemain Malaysia selepas penyerang sensasi negara Faizal Saari, Muhammad Hafiz Zainol serta Kavin Kartik beraksi buat Kelab Hoki Sohar.

Arkitek negara Fitri Saari dan Mohd Syamim Mohd Yusoff pula mewakili kelab Al Seeb manakala Dedy Ariyadi Jumaidi dan Shazrul Imran Nazli belum dipastikan dengan semua mereka berkelana selama sebulan di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 11:11 PM