EUSEBIO DI FRANCESCO
EUSEBIO DI FRANCESCO
AFP

MILAN: Pemilik Roma dari Amerika Syarikat James Pallotta berkata, beliau berang dengan pasukan gergasi Serie A itu selepas mengalami kemerosotan prestasi apabila tewas 2-0 di Bologna sekali gus meningkatkan lagi tekanan ke atas jurulatih Eusebio Di Francesco.

Roma yang menduduki tempat ketiga Serie A musim lalu terperosok di tangga ke-14 selepas lima perlawanan dengan hanya meraih lima mata. Bologna pula menjaringkan gol pertama musim ini mencapai kemenangan pertama mereka.

“Saya kecewa,” kata Pallotta kepada wartawan selepas kelab itu belum menang dalam semua enam perlawanan mereka.

Roma menang ke atas Torino dalam aksi pembukaan, seri dengan Atalanta dan Chievo tetapi tewas kepada AC Milan dan terkini Bologna.

Di Francesco hilang kata-kata untuk menjelaskan apabila pasukan yang mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara itu tewas 3-0 kepada juara bertahan Real Madrid di Sepanyol, pertengahan minggu lalu.

“Jika saya ada penjelasan, saya akan beri kepada anda,” katanya.

Roma menerima kunjungan Frosinone Rabu ini dengan misi melonjakkan semula semangat mereka sebelum menentang pasukan jiran Lazio pada Sabtu ini. Lazio menduduki tempat kelima selepas menewaskan Genoa 4-1.

Prestasi Roma merudum selepas kehilangan penjaga gol Alisson kepada Liverpool pada musim panas lalu dan dua pemain tengah Radja Nainggolan dan Kevin Strootman turut meninggalkan kelab itu.

“Jika anda menguasai 74 peratus perlawanan tetapi tewas 2-0, bermakna sesuatu hilang dalam sikap anda,” kata jurulatih Roma itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 10:06 AM