PEMAIN ragbi lelaki Terengganu yakin dapat memburu kilauan emas dalam temasya SUKMA ke-19.  FOTO/MALIK MUHAMAD
PEMAIN ragbi lelaki Terengganu yakin dapat memburu kilauan emas dalam temasya SUKMA ke-19. FOTO/MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


RAGBI 7 sebelah (7s) lelaki yang kembali dipertandingkan di Sukan Malaysia (SUKMA) pada edisi ke-19 di Perak kini menjadi tumpuan utama skuad Terengganu yang memburu emas ketiga temasya.

Sebelum ini, skuad ragbi Terengganu pernah dua kali meraih emas pada temasya SUKMA 2008 dan 2010, namun sukan itu tidak dipertandingkan dalam SUKMA 2016 di Sarawak.

Bagi ketua jurulatih Terengganu, Izaimi Zainuddin - sasaran pingat emas acara itu bukannya omong kosong, sebaliknya berasas berdasarkan prestasi semasa atlet serta pasukan yang disenaraikan pada kali ini.

"Beberapa pemain yang membarisi skuad kali ini adalah bekas pemain remaja kebangsaan dan seorang pelatih skuad senior kebangsaan yang beraksi dalam Sukan Asia di Jakarta Palembang baru-baru ini.

"Keduanya, ia dinilai berdasarkan pencapaian pasukan ini yang bermula sejak dua tahun lalu. Kita pernah menjadi juara peringkat senior tujuh sebelah peringkat kebangsaan serta beberapa kejohanan jemputan lain,” kata Izaimi.

Bagaimanapun katanya, laluan Terengganu tidak mudah kerana mereka dijangka akan mendapat tentangan sengit Kelantan, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Kami perlu lebih berhati-hati kerana kekuatan skuad itu boleh dikatakan seimbang," kata Izaimi yang bakal mempertaruhkan pelatih skuad kebangsaan Sukan Asia, Muhammad Haikal Ibrahim sebagai tunjang utama pasukan.

Skuad Terengganu juga bakal dimantapkan lagi dengan kehadiran tiga bekas pemain remaja kebangsaan iaitu Azam Fakhrullah, Muhammad Faris Abdullah dan Khairul Khalimin Jusoh.

Sementara itu, skuad ragbi wanita yang menyasarkan pingat gangsa pula mahu memecah dominasi Sabah dan Selangor, apabila acara itu dipertandingkan buat kali pertama di SUKMA Perak.

Pemain paling menyerlah dalam skuad wanita, Claire Gabriel, 21, berkata, biarpun hanya menyasarkan pingat gangsa, tetapi skuadnya kini berada pada landasan terbaik untuk menukar warna daripada gangsa kepada perak atau emas.

Katanya, skuad bimbingan jurulatih berpenglaman, Mohd Firdaus Zakarya yakin mereka mampu memberi saingan hebat kepada pasukan pilihan - Sabah dan Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 12:47 PM