MARIA Sharapova beraksi di Terbuka Amerika Syarikat. Foto EPA
MARIA Sharapova beraksi di Terbuka Amerika Syarikat. Foto EPA
AFP

MARIA Sharapova meranapkan impian Patty Schnyder yang berumur 39 tahun pada Terbuka Amerika Syarikat (AS), dengan memenangi perlawanan pusingan pertama penuh berliku 6-2, 7-6 (8/6), hari ini.

Schnyder, pemain tertua memasuki undian utama Grand Slam itu daripada pusingan kelayakan, ditundukkan pemenang utama sebanyak lima kali itu dalam set pertama dan juga kebanyakan masa dalam set kedua.

Bagaimanapun, pemain veteran itu memberi tentangan selepas dia ketinggalan 1-5 dan meningkat tempoh permainan ke 6-6, bagi mempamerkan kemampuannya yang sebelum ini pernah merangkul 11 gelaran dan juga pernah berada di ranking tujuh dunia.

“Purata perlawanan saya menentangnya adalah lebih kurang dua jam dan 20 minit, jadi saya tahu saya berada dalam peperangan tidak kira apa kisah saya atau dia,” kata Sharapova yang kini memegang rekod 21-0 dalam perlawanan malam di Terbuka AS.

“Saya tahu kami perlu mengeluarkan apa yang ada dan bertarung menentang sesama sendiri. Saya tahu dia pesaing yang bagaimana dan untuknya kembali ke dalam jelajah ini adalah sesuatu yang saya sangat kagumi.” 

Schnyder yang juga pemain kidal membuat penampilan sulung pada Terbuka AS pada 1997, dengan pemain Switzerland itu melangkah ke pusingan suku akhir di New York pada 1998 dan 2008 sebelum mengambil keputusan bersara pada 2011.

Perlawanan hari ini juga adalah penampilan sulungnya dalam undian utama pada Terbuka AS sejak 2010 serta pertarungan pertamanya menentang Sharapova dalam sedekad ini.

“Masa berlalu begitu pantas dan saya tidak rasa lapan tahun sudah berlalu sejak kali terakhir menentang Maria,” kata Schnyder.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 6:00 PM