Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain

JAKARTA: Sukan Asia Jakarta-Palembang bermula secara rasmi hari ini dalam majlis gilang gemilang di Stadium Gelora Bung Karno.

Edisi temasya ke-18 yang disertai atlet dari 44 negara Asia dan bertemakan 'Energy Of Asia' itu berlangsung di dua venue utama – Jakarta dan Pelembang – akan berakhir 2 September ini.

Ia menyajikan 465 acara daripada keseluruhan 40 jenis sukan.

Bagi majlis pembukaan dan perarakan, kontinjen negara mengenakan blaus putih dan seluar hitam bagi atlet wanita manakala baju kemeja putih dan seluar hitam bagi lelaki.

Kali ini pakaian khas dipakai kontinjen negara direka bermotifkan corak batik mengikut warna Harimau Malaya iaitu oren dan hitam.

Mengetuai perarakan ialah pembawa bendera Syakila Salni Jefry Krishnan diikuti 114 atlet dan pegawai.

Barisan atlet membabitkan mereka dari sukan bola baling, hoki, taekwondo, pelayaran, gimnastik artistik dan ekuestrian.

Bagi temasya kali ini, kontinjen negara mensasarkan tujuh emas. Malaysia meraih lima emas di Incheon, Korea Selatan, Malaysia empat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 9:04 PM
KONTINJEN negara yang diketuai Syakila membawa Jalur Gemilang memasuki Stadium Gelora Bung Karno pada pembukaan rasmi Sukan Asia 2018 Jakarta Palembang. -Foto FATHIL ASRI
KONTINJEN negara yang diketuai Syakila membawa Jalur Gemilang memasuki Stadium Gelora Bung Karno pada pembukaan rasmi Sukan Asia 2018 Jakarta Palembang. -Foto FATHIL ASRI