WINNIE NG
WINNIE NG
Farah Azharie


KUALA LUMPUR: Tunjuk ajar diberikan pemain golf nombor satu lelaki negara, Ervin Chang diharap dapat membantu cabaran Winnie Ng di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Winnie yang berada di ranking keempat kebangsaan berkata, Ervin mengesan corak hayunan dilakukannya tidak sama seperti ketika dirinya meraih lima gelaran sebelum ini dan dinobatkan sebagai pemain amatur terbaik di Sime Darby LPGA Malaysia yang menyaksikan dia menamatkan saingan di tangga ke-64, tahun lalu.

“Saya tidak sedar hayunan saya berbeza dan kemudian rakan saya Ervin berkata, dia merasakan hayunan itu berlainan daripada sebelum ini. Dia berdiri di belakang saya dan melihat cara hayunan dan memberitahu ia sedikit keras.

“Jadi dia meminta saya untuk mengubahnya bagi meningkatkan lagi ketepatan,” kata Winnie yang turut menggambarkan Ervin sebagai abangnya.

Juara Terbuka Amatur Kuala Lumpur, Sabah, Kelantan dan Penang itu berkata, pendedahan di Terbuka Amatur Wanita di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) minggu lalu secara tidak langsung membantunya menguji corak hayunan barunya namun turut menimbulkan masalah berlainan.

“Saya bermain dengan agak baik dalam dua hari pertama tetapi apabila memasuki hari terakhir, saya sedikit gementar kerana saya bermain begitu teruk sejak beberapa minggu lalu jadi saya tidak menjangkakan yang diri saya mampu beraksi dengan baik minggu ini.

“Saya juga tidak dapat menahan emosi, hayunan yang tidak tepat jadi saya memerlukan persiapan mental dengan memberitahu diri yang saya cukup baik untuk meraih mata di bawah par dan juga berusaha gigih terhadap permainan mental,” kata Winnie yang meraih tempat ketiga pada kejohanan dimenangi rakannya, Geraldine Wong, Ahad lalu.

Winnie bakal berada dalam satu pasukan bersama pemain nombor dua dan tiga negara, Ashley Lau dan Natasha Oon di Pondok Indah Golf Course di Jakarta, pada 23 hingga 26 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 1:43 AM