Farah Azharie

Kuala Lumpur: Pemain golf negara, Chan Tuck Soon (gambar) mengakui perhatian harus diberikan sepenuhkan kepada wakil dari Thailand dan Singapura yang dijangka menjadi pesaing utama pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Menurutnya, Thailand menghantar empat wakil untuk acara lelaki termasuk pemain nombor lapan amatur Asia, Sadom Kaewkanjana.

Singapura pula mempertaruhkan Gregory Foo yang berada di ranking keenam Asia dalam carta Ranking Golf Amatur Dunia (WAGR) dan pernah meraih gelaran juara Kejohanan Amatur Terbuka Singapura.

“Bagaimanapun, saya percaya kita juga mempunyai peluang untuk meraih emas. Kita membariskan pasukan terkuat dan semangat semua pemain juga semakin tinggi. Ini kerana kami bukan saja bekerja keras ketika berlatih tapi sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain,” katanya.

Jelas Tuck Soon, mereka sentiasa bersemangat dalam mempersiapkan diri hingga cuba untuk tidak terlepas sesi latihan setiap hari.

“Kami sentiasa menghormati antara satu sama lain dan menganggap kami satu keluarga dengan berteras semangat hanya emas yang menjadi buruan di Sukan SEA nanti.

“Saya sendiri berasa teruja dan bersedia untuk memulakan aksi dengan cemerlang. Seperti saya katakan sebelum ini persiapan ini adalah terbaik pernah saya lalui dan sentiasa mempertingkatkan permainan sejak bermulanya latihan pusat,” katanya.

Tuck Soon yakin semangat yang terjalin antaranya bersama Ervin Chang dan Galven Green mampu untuk mengulangi kejayaan meraih emas acara berpasukan lelaki sama seperti 1989 (Kuala Lumpur) dan 2011 (Jakarta).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 9:54 AM