PEMAIN Negeri Sembilan, Muhammad Fakrul Aiman Sidid, (dua dari kiri) diasak dengan pemain UKM FC, Muhammad Alif Jamaluddin (kiri) pada perlawanan Challenge Cup 2018 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban. FOTO Adzlan Sidek
PEMAIN Negeri Sembilan, Muhammad Fakrul Aiman Sidid, (dua dari kiri) diasak dengan pemain UKM FC, Muhammad Alif Jamaluddin (kiri) pada perlawanan Challenge Cup 2018 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban. FOTO Adzlan Sidek
Mohd Amin Jalil


SEREMBAN: Negeri Sembilan meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan UKM FC, 2-1, dalam saingan Kumpulan A Piala Cabaran 2018, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Mario Lemos memperbaiki kedudukan di tempat kedua carta dengan sembilan mata, manakala Terengganu FC II (TFCII) terus menggungguli kumpulan dengan 11 mata selepas menewaskan Sarawak, 1-0, dalam satu lagi aksi di Kuala Terengganu.

Negeri Sembilan mendapat peluang jaringan pada minit ke-19 tetapi gagal dimanfaakan apabila tandukan Khairul Anwar Shahrudin di hadapan pintu gol selepas menerima hantaran lintang sebelah kanan oleh Mohd Fauzan Mohd Fauzi ditepis penjaga gol UKM, Mohd Nor Haziq Mohd Aris.

Sepakan bebas Flavio Beck Junior dari jarak 25 meter pada minit ke-27, juga gagal menghasilkan gol.

Skuad Hobin Jang Hobin enggan berputus asa apabila terus menggandakan asakan ke kubu pelawa tetapi barisan depan yang digalas Mohamad Fakrul Aiman Sidid gagal melepasi benteng pelawat.

Bagaimanapun kerja keras itu akhirnya berhasil apabila Mohamad Fakrul yang berjaya melepasi dua pertahanan lawan, meledak gol pertama Negeri Sembilan menerusi tendangan deras dari dalam kotak penalti pada minit ke-43, untuk menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan milik tuan rumah.

Menyedari ketinggalan, UKM dilihat mula mengatur gerak sebaik babak kedua bersambung dalam usaha mereka untuk mendapatkan gol dan menyamakan kedudukan.

Sebaliknya, anak buah Sulaiman Hussin kembali tersentak apabila skuad Rusa berjaya melebarkan lagi penguasaan menerusi gol kedua yang dijaringkan Mohd Faizal Abu Bakar, selepas dia menanduk kemas bola hantaran lintang Beck Junior pada minit ke-57.

UKM akhirnya berjaya membolosi gawang tuan rumah menerusi penyerang import mereka, Michael Chukwubunna Ijeze yang bijak memperdayakan bahagian benteng tuan rumah apabila menjaringkan gol pada minit ke-88, namun tidak berjaya menafikan kemenangan Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 11:30 PM