PEMAIN Felda United, Gilberto Valdenesio (kiri) diasak pemain Melaka Venod Subramaniam (kanan) pada saingan Piala Malaysia 2018 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. -Foto FARIZUL HAFIZ AWANG
PEMAIN Felda United, Gilberto Valdenesio (kiri) diasak pemain Melaka Venod Subramaniam (kanan) pada saingan Piala Malaysia 2018 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. -Foto FARIZUL HAFIZ AWANG
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

 

MARAN: Juara Liga Perdana 2018, FELDA United terpaksa akur diikat tanpa jaringan oleh Melaka United dalam aksi hambar saingan Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka di sini, sebentar tadi.

Selaku tuan rumah, skuad The Fighters bermula garang apabila kerap melancarkan serangan ke atas kubu lawan pada babak pertama namun digagalkan ketangkasan penjaga gawang Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat.

Peluang terbaik FELDA United hadir pada minit ke-18 apabila sepakan leret pemain tengah Iain Ramsay sedikit tersasar ke sebelah kanan gawang lawan.

Skuad kendalian E Elavarasan bagaimanapun turut melancarkan serangan balas menerusi larian lincah pemain sayap mereka, R Gopinathan yang sekali sekala mencemaskan pertahanan FELDA United.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian B Satiananthan kembali memperkemaskan rentak apabila menguasai permainan menerusi gerakan satu dua penyerang mereka Thiago Augusto dan Gilberto Fortunato.

Asakan bertali arus tuan rumah kerap digagalkan ketangkasan Khairul Fahmi termasuk dua percubaan deras Gilberto pada minit 61 dan 74 yang ditepis keluar.

Terdesak untuk mencari tiga mata pertama, FELDA United kemudian membuat beberapa pertukaran termasuk membawa pemain gantian Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman untuk mempertajam jentera serangan.

Melaka United yang dilihat sedikit bertahan pada babak kedua turut menguji kubu pertahanan tuan rumah menerusi gerakan dan percubaan pemain import mereka Yahor Zubovich namun digagalkan dengan ketangkasan penjaga gawang, Mohd Farizal Harun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 12:18 AM