AKSI pemain Melaka, Romel Morales (kiri) ketika berdepan import Pahang, Adam Reed pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput. FOTO NAZRI ABU BAKAR
AKSI pemain Melaka, Romel Morales (kiri) ketika berdepan import Pahang, Adam Reed pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


JARINGAN tunggal Dickson Nwakaeme sudah cukup membolehkan Pahang mengatasi Melaka 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

Bagaimanapun, keazaman tinggi barisan tuan rumah untuk meraih tiga mata terserlah menerusi usaha gigih mereka merobek gawang pelawat sejak awal babak permainan.

Namun percubaan penyerang importnya Uche Agba berjaya ditepis penjaga gol Ahmad Sarbinee Allawee pada minit kelapan sementara pemain kelahiran Nigeria itu pula gagal menolak mudah bola kedalam jaring selepas menerima hantaran lintang Sony Norde pada minit ke-19 aksi.

Peluang terbaik pelawat mendahului hadir pada minit ke-33 namun rembatan kencang Faizal Halim tersasar ke kiri gawang tuan rumah.

Pahang yang lebih banyak menguasai 45 babak pertama bagaimanapun gagal menembusi kubu Hang Tuah yang kukuh dikawal bekas penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat.

Babak kedua memperlihatkan perubahan drastik skuad Hijau Putih namun dua percubaan Norde pada minit ke-46 dan 47 gagal diterjemah dengan jaringan.

Akhirnya, Pahang berjaya menjaringkan gol kemenangan mereka menerusi rembatan pemain gantian Dickson Nwakaene pada minit ke-67 untuk ceria meraih kemenangan kedua berturut-turut.

Gol tunggal hasil hantaran Ivan Carlos itu cukup buat skuad kendalian Dollah Salleh pulang ceria walaupun Carlos yang turut memiliki peluang menambah jaringan kedua hanya merembat tinggi peluang terhidang pada minit ke- 78.

Kekalahan kedua Hijau Putih selepas kecundang di tangan FELDA United Rabu lalu memberi gambaran skuad terbabit perlu bangkit selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 12:02 AM