WOODS terlepas peluang terajui kejohanan Memorial. FOTO/AFP
WOODS terlepas peluang terajui kejohanan Memorial. FOTO/AFP
AFP

DUBLIN, Amerika Syarikat: Tiger Woods berkongsi tangga teratas pusingan ketiga Memorial buat seketika, tetapi dua bogey lewat permainan menyaksikan bekas pemain nombor satu dunia itu tergelincir semula.

Birdie di lubang 15 menyaksikan juara major 14 kali itu terikat pada 11 bawah par untuk berkongsi tangga teratas. Tetapi kemaraannya dicemari dengan bogey di lubang 16 dan 18 yang meletakkannya pada sembilan bawah par 207 selepas menamatkan pusingan ketiga pada empat bawah par 68.

“Saya berada di kedudukan di mana jika saya mencatat satu lagi pusingan baik seperti dua hari sebelumnya, saya mempunyai peluang,” kata Woods yang kali terakhir meraih kejuaraan ialah pada Jemputan Bridgestone WGC 2013 di Akron, Ohio.

Woods, juara lima kali di kejohanan anjuran Jack Nicklaus itu, memulakan pusingan ketiga dengan lima bawah par dan sekali lagi dia menggamatkan suasana apabila pukulan keduanya di lubang kelima par lima meletakkan bola kurang empat meter dari pin dan ia disempurnakan dengan eagle.

Dia kemudian melakukan birdie di lubang keenam, ketujuh dan kesembilan untuk berada 10 bawah par, hanya satu di belakang pendahulu pusingan kedua yang dikongsi bersama Kyle Stanley dan Joaquin Niemann.

Woods mencatat par pada lima lubang berikutnya, termasuk terlepas birdie dari 1.2 meter di lubang 14. Dia kembali melakukan birdie di lubang berikutnya tetapi dua bogey di tiga lubang terakhir membantutkan kemaraannya.

Ini adalah kejohanan kesembilan Woods tahun ini selepas kembali daripada pembedahan tulang belakang tahun lalu. Setakat ini dia merakamkan empat penamat dalam kelompok 12 terbaik, termasuk sekali terikat di tempat kedua di Kejohanan Valspar pada Mac.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 8:31 AM