PEMAIN Sabah, Maxius Musa melakukan sepakan silang gunting sambil dihalang pemain Pulau Pinang di Stadium Likas. FOTO/KHAIRULL AZRY BIDIN
PEMAIN Sabah, Maxius Musa melakukan sepakan silang gunting sambil dihalang pemain Pulau Pinang di Stadium Likas. FOTO/KHAIRULL AZRY BIDIN
Ryan Stanley


WALAUPUN terikat dengan Pulau Pinang di Stadium Likas, di sini, malam tadi, pengendali Sabah, Jelius Ating tetap berpuas dengan semangat juang dipamerkan anak buahnya.

Jurulatih Sabah berusia 47 tahun itu berkata, pemain sentiasa berusaha mencatat kemenangan dalam aksi Liga Perdana itu walaupun mereka mengalami masalah dalaman ketika ini.

Bagaimanapun, Jelius enggan mengulas lanjut berhubung masalah dihadapi pasukan sebaliknya sekadar menjelaskan ia timbul berikutan keadaan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang tidak begitu stabil ketika ini.

“Seperti yang anda sedia maklum, persatuan kini masih belum stabil berikutan peletakan jawatan pucuk pimpinannya dan saya akui ia turut memberi kesan kepada pasukan.

“Bagaimanapun, di sebalik masalah yang kita hadapi, saya kagum dengan semangat pemain. Mereka masih bersungguh-sungguh di atas padang.

“Kita lihat keinginan pemain untuk menang malam tadi, malangnya beberapa peluang tidak disempurnakan dengan baik, ” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Pada perlawanan itu, Sang Badak sekadar seri tanpa jaringan dengan skuad Harimau Kumbang, walaupun mereka memiliki beberapa peluang baik untuk menghasilkan jaringan.

Sementara itu, Jelius berkata, sasaran seterusnya adalah memenangi dua baki perlawanan bagi menjamin tempat ke Piala Malaysia serta mendapat kedudukan lebih baik dalam liga.

“Kita semakin hampir untuk beraksi di Piala Malaysia selepas beberapa tahun gagal layak. Saya harap tahun ini kita akan kembali (beraksi di Piala Malaysia).

“Sejak saya mengambil alih pasukan ini pertengahan musim lalu, Sabah mula menunjukkan peningkatan terutama musim ini. Antara kejayaan kita termasuk beberapa pemain dipanggil menyertai skuad kebangsaan dan setakat ini dua pemain kita terpilih sebagai pemain terbaik bulanan Liga Perdana.

“Jika kita layak ke Piala Malaysia, ia satu lagi kejayaan,” katanya.

Keputusan seri malam tadi menyaksikan Sabah naik satu anak tangga untuk memintas PDRM di kedudukan keempat selepas pasukan itu tewas kepada UiTM FC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 4:37 PM