ROSMAN MOHD IBRAHIM
ROSMAN MOHD IBRAHIM
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Empat ‘orang kuat’ Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sah melepaskan jawatan masing-masing selaras dengan proses transformasi yang cuba dilakukan persatuan itu di bawah kendalian presiden baharu, Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menerusi kenyataan persatuan itu, tiga ahli jawatankuasa eksekutif berkenaan meletak jawatan sementara seorang daripadanya mengumumkan persaraan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) badan induk itu yang berlangsung 3 Julai lalu.

“Dua naib presiden iaitu Datuk Lim Thean Sheang dan Nizam Sani sudah meletakkan jawatan atas sebab komitmen mereka dalam syarikat masing-masing sementara Setiausaha Agung FAS, Rosman Mohd Ibrahim turut mengumumkan peletakan jawatannya.

“Bendahari FAS, Datuk S Sivasundaram pula mengumumkan beliau akan bersara selepas berakhirnya saingan Liga Super musim 2018.

“FAS menerima peletakan jawatan dan persaraan yang sudah diputuskan itu, jadi FAS merakamkan penghargaan terhadap sumbangan mereka terhadap persatuan ini,” menurut kenyataan itu hari ini.

Susulan kekosongan empat kerusi dalam ahli jawatankuasa eksekutif persatuan itu, FAS sudah melantik dua individu bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan.

“Presiden, Tengku Amir Shah dan ahli jawatankuasa eksekutif sudah melantik Mohd Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal Hamidon untuk mengisi kekosongan jawatan naib presiden.

“Dr Johan juga dilantik selaku Setiausaha Agung FAS yang baharu bagi penggal 2017-2021,” katanya.

Ketika ini, Izhar adalah Pengarah Eksekutif Yayasan Muda Selangor (YRMS) dan pengarah urusan sebuah syarikat pelaburan swasta serta pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Komuniti Muda Selangor (SAY), badan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskan sendiri oleh Tengku Amir Shah.

Sementara Dr Johan pula adalah Ketua Pegawai Eksekutif SAY.

Dalam perkembangan lain, FAS mengesahkan Tengku Amir Shah akan menganjurkan satu bengkel berhubung hala tuju persatuan itu dari 4 hingga 6 Ogos ini bagi merangka dan memperincikan inisiatif pembaharuan yang bakal dijalankan oleh FAS.

“Individu yang akan dijemput dalam bengkel ini dalam kalangan ahli FAS dan juga pemegang taruh luaran yang diharap dapat menyumbangkan idea dan input terhadap inisiatif pembaharuan FAS,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 5:34 PM