KIRAAN jumlah sepakan sudut untuk satu pasukan sebagai penentu kejohanan lebih adil. FOTO EPA-EFE
KIRAAN jumlah sepakan sudut untuk satu pasukan sebagai penentu kejohanan lebih adil. FOTO EPA-EFE
Reuters

MOSCOW: Bekas pengadil final Piala Dunia, Arnaldo Cezar Coelho tidak bersetuju dengan penggunaan ‘fair play’ sebagai penentu kepada kejohanan.

Beliau berpendapat, kiraan sepakan sudut kaedah lebih baik bagi memisahkan pasukan yang menamatkan aksi dengan pungutan mata dan gol yang sama, katanya.

Senegal muncul pasukan pertama dalam sejarah Piala Dunia disingkirkan menerusi kutipan kad kuning selepas menamatkan kempen peringkat Kumpulan H memungut mata dan perbezaan jaringan serta gol sama dengan Jepun, Khamis lalu.

Pasukan dari Afrika itu mengutip enam kad kuning berbanding empat dimiliki Jepun.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menyatakan mereka tidak mempunyai perancangan untuk mengubah peraturan itu.

Warga Brazil, Coelho, yang turut mengkritik penggunaan pengadil bantuan video (VAR) terhadap insiden seperti bola terkena tangan berkata, penentuan kejohanan seharusnya diputuskan oleh kriteria yang objektif.

“Masalahnya kad kuning adalah subjektif... dan sesetengah pengadil gemar untuk menjadi tegas dan memberikan lebih kad kuning berbanding yang lain,” kata Coelho dalam satu wawancara.

“Jadi jika pasukan itu beraksi pada perlawanan yang lebih tegas, mereka tidak mempunyai kelebihan. Bagi saya, ada cara yang lain... kiraan sepakan sudut. Ia kriteria yang teknikal dan jika anda ingin memenangi sepakan sudut anda perlu menyerang, anda perlu bermain bola sepak.”

Jepun yang tewas 0-1 pada perlawanan terakhir bertemu Poland juga berpotensi untuk dikenakan tindakan kerana melengah-lengahkan perlawanan dalam usaha menamatkan saingan di tempat kedua.

“Mereka tidak mampu untuk melakukannya jika sepakan sudut digunakan,” kata Coelho yang menjadi pengadil final Piala Dunia pertama dari luar benua Eropah ketika mengendalikan aksi Itali dan Jerman Barat pada 1982.

Mengulas mengenai VAR, beliau berkata, secara asas penggunaannya adalah idea yang baik tetapi ia seharusnya dihadkan kepada keputusan yang objektif seperti ofsaid.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 12:00 AM