VAR bantu pengadil buat keputusan lebih tepat.
VAR bantu pengadil buat keputusan lebih tepat.
TENAGA pengajar pengadil FIFA C Ravichandran memberi penerangan kepada pengadil FAM.
TENAGA pengajar pengadil FIFA C Ravichandran memberi penerangan kepada pengadil FAM.
Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Keputusan membabitkan mutu pengadilan bola sepak negara akan diperkemaskan dengan penggunaan video bantuan pengadil (VAR) dalam Liga Super yang dijangka digunakan sepenuhnya tahun depan.

Bagaimanapun, sebagai permulaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menguji penggunaan VAR itu pada aksi separuh akhir dan final Piala Malaysia tahun ini.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, penggunaan teknologi membabitkan kos keseluruhan di bawah RM10 juta itu dilihat lebih efektif, bahkan lebih banyak membantu pengadil membuat keputusan lebih tepat, jelas dan meyakinkan semua pihak.

“VAR ini antara dua projek diperkenankan dan cuba dilaksanakan Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Sehubungan itu kami menjemput syarikat pemilik teknologi berpangkalan di London untuk memberikan taklimat mengenainya.

“Penggunaan peralatan ini dilihat dapat membantu dalam meningkatkan kualiti pengadil tempatan di samping dapat memperkemaskan keputusan, sekali gus meningkatkan keyakinan pemain serta penyokong,” katanya pada sidang media berhubung taklimat khas mengenai teknologi itu di sebuah hotel di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Presiden FAM Datuk Wira Yusoff Mahadi dan Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) Kevin Ramalingam.

Hamidin berkata, Syarikat Hawk-Eye Innovations mengendalikan teknologi itu turut menunjukkan demonstrasi penggunaan VAR dan Tunku Ismail melihat sendiri keberkesanannya pada sesi berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM Subkhiddin Mohd Salleh berkata, Malaysia menjadi negara ASEAN pertama menggunakan VAR dengan Qatar sudah mempraktikkan penggunaannya di Asia sebelum ini.

Sehingga kini, beberapa negara sudah mengadaptasikan teknologi berkenaan termasuk Belanda, Jerman, Perancis serta Australia.

Katanya, projek ini bukan saja lebih positif, tetapi memberi banyak kelebihan, selain FIFA sedang memperbaiki termasuk baru selesai menggunakannya di Kelab Piala Dunia di Jepun serta Kejohanan Bawah 17 Tahun di India.

Mengulas lanjut katanya, keputusan akan tetap sama, namun jika berlaku kesilapan jelas dan ralat, maka VAR akan digunakan untuk mengesan kesalahan.

“VAR menumpukan empat perkara iaitu mengesahkan jaringan, menentukan layangan kad merah dan kuning kepada pemain, pemberian sepakan penalti serta mengelak kesilapan identiti pemain.

“Setiap keputusan mengambil masa antara 14 hingga 15 saat untuk dikeluarkan dan mana-mana pasukan dan pengadil perlawanan tidak berhak membantah keputusan.

“Bagaimanapun, reviu daripada VAR ini hanya boleh diminta oleh pengadil. Jika pemain yang minta untuk revieu, dia akan dilayangkan kad kuning," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 9:21 AM