MOOY (kanan) dalam pertimbangan Guardiola untuk dibawa ke City dari Huddersfield Town. FOTO/AFP
MOOY (kanan) dalam pertimbangan Guardiola untuk dibawa ke City dari Huddersfield Town. FOTO/AFP
Agensi

LONDON: Kempen Australia di Piala Dunia sudah berakhir namun beberapa pemain mereka yang mempamer persembahan cemerlang, mula diperhatikan kelab utama dunia.

Selepas menamatkan saingan di peringkat kumpulan dengan hanya memungut satu mata daripada tiga perlawanan, pemain tengah, Aaron Mooy layak dikategorikan sebagai bertaraf dunia manakala Daniel Arzani, Trent Sainsbury dan Josh Risdon membuktikan mereka mampu bermain di peringkat tertinggi.

Mooy yang mempamer aksi memberangsangkan dalam tiga perlawanan di Russia dilihat bersedia untuk mengorak langkah dalam kariernya dan dilaporkan akan pulang semula ke Manchester.

Pemain berusia 27 tahun itu dalam pertimbangan Pep Guardiola untuk dibawa ke kelab berkenaan dari Huddersfield Town malah dia juga dikaitkan dengan beberapa kelab lain seperti Everton, Southampton dan West Ham United.

Sementara itu, Arzani pula tidak berlengah sebaik berakhirnya tugas di Russia apabila terus menaiki pesawat ke London untuk berbincang sebelum membuat keputusan mengenai masa depannya.

“Esok saya akan terus ke London bersama ejen saya. Dari situ kami berbincang mengenai pilihan yang ditawarkan dan apa yang akan dilakukan pada masa akan datang,” kata pemain berusia 19 tahun itu.

Arzani menjadi pemain yang mendapat perhatian di seluruh Eropah dan antara kelab yang berminat mendapatkan khidmat pemain sayap Melbourne City itu adalah Juventus, City, Bayer Leverkusen dan PSV Eindhoven.

“Beraksi dalam lima liga terbaik dunia adalah satu impian buat saya. Sekarang saya hanya perlu melakukan keputusan tepat untuk berpindah dan perlu pastikan saya berpeluang untuk diturunkan secara lebih kerap,” kata Arzani.

Queen Park Rangers dan Aston Villa pula dikatakan berminat untuk mendapatkan pemain berusia 26 tahun, Sainsbury dari pasukan Jiangsu Suning.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 1:25 PM