AMRABAT (tengah) berang dengan keputusan pengadil yang memihak kepada VAR. FOTO/AFP
AMRABAT (tengah) berang dengan keputusan pengadil yang memihak kepada VAR. FOTO/AFP
Agensi

MOSCOW: Nordin Amrabat meluahkan kemarahannya terhadap VAR secara terbuka selepas Maghribi seri 2-2 dengan Sepanyol pada perlawanan terakhir Piala Dunia peringkat kumpulan.

Bintang Maghribi dan rakan sepasukannyanya ternyata kecewa apabila pengadil Ravshan Irmatov mengubah keputusannya untuk membatalkan jaringan penyamaan Sepanyol pada minit ke-91.

Percubaan Iago Aspas pada mulanya dikira sebagai ofsaid tetapi pengadil diminta untuk mengkaji semula oleh bilik kawalan VAR dan kemudiannya memutuskan gol itu dikira.

Ia dianggap keputusan yang tepat dan ini bermakna Sepanyol meraih satu mata manakala Maghribi gagal mencapai kemenangan yang diidamkan.

Maghribi tersingkir daripada kejohanan itu dengan tanpa sebarang kemenangan dan satu mata dan Amrabat benar-benar berang selepas perlawanan itu ketika melihat sebuah kamera di padang selepas perlawanan.

Amrabat memandang tepat kepada kamera, meluahkan kekecewaan secara terbuka kepada VAR dan berkata “VAR, ia memang mengarut!”

VAR mencuri perhatian pada perlawanan itu apabila teknologi video itu digunakan beberapa kali untuk kedua-dua perlawanan Kumpulan B.

Enrique Caceres memberikan penalti kepada Portugal dan Iran selepas ulasan VAR dalam satu lagi perlawanan yang berakhir seri, ketika Cristiano Ronaldo hampir dibuang padang apabila pengadil mengkaji insiden pemain itu menyiku lawan.

Suasana semakin tegang ketika VAR semakin mempengaruhi keputusan kedua-dua perlawanan dan baik pemain mahu pun pengkritik tidak berpuas hati dengan keputusan dibuat.

“Melucukan. Kelam kabut. Jurulatih itu benar-benar bertuah. Jika Iran menjaringkan gol pada akhir perlawanan, ia pasti akan lebih kelam kabut,” kata Alan Shearer di BBC.

“Bagaimana mungkin beliau berfikir ia satu penalti. Jika beliau fikir ia dianggap menyentuh bola dengan tangan, beliau gila. Tidak mungkin bola terkena tangan. Perlawanan itu menjadi sungguh melucukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 12:40 PM