SADIO MANE
SADIO MANE
AFP

YEKATERINBURG: Jepun merancang menyekat bintang Senegal, Sadio Mane pada pertemuan penting kejohanan Piala Dunia, malam esok dan bersedia untuk meletakkan hingga tiga pemain mengawal penyerang Liverpool itu jika perlu.

Pasukan gergasi Asia itu dibentuk Akira Nishino hanya beberapa minggu sebelum bermula Piala Dunia, melakar kejutan apabila mengungguli Kumpulan H selepas menewaskan Colombia 2-1 dalam perlawanan pembukaan.

Kemenangan ke atas Senegal bakal membuka peluang lebih besar untuk ke pusingan 16 terakhir dan Nishino berkata, pasukannya perlu berwaspada dengan kelebihan dan kekuatan wakil Afrika itu.

Jepun pasti mempunyai sedikit maklumat mengenai kelemahan Mane daripada pemain pertahanan, Maya Yoshida iaitu bekas rakan sepasukan Mane di Southampton sebelum berhijrah ke Anfield pada 2016.

Nishino berkata, semua pemain Jepun sudah diberi penerangan ringkas cara untuk menyekat pemain berusia 26 tahun itu.

“Bukan saja Yoshida, tapi semua pemain sudah diberi maklumat mengenai Mane yang mana saya pasti beberapa pemain akan mengawalnya,” kata Nishino.

“Saya yakin kami boleh menghadapinya tetapi dengan sumbangan Mane boleh berikan, mungkin dia akan dikawal dengan satu pemain, atau mungkin juga hingga tiga (pemain).

“Tidak mustahil untuk menghalangnya, tetapi masalahnya adalah dia juga boleh mempengaruhi pemain lain, dan itulah yang kami bimbang.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 11:56 PM