PEMAIN Sweden, Emil Forsberg boleh jadi pengancam untuk Jerman.
PEMAIN Sweden, Emil Forsberg boleh jadi pengancam untuk Jerman.
AFP

SUKAR untuk diterima jika Jerman tersingkir awal di Piala Dunia namun, ia boleh menjadi realiti buat juara bertahan itu kecuali jika mereka mengatasi Sweden pada pertembungan hujung minggu nanti.

Namun, mereka sekurang-kurangnya sedar ancaman perancangan kreatif Janne Andersson yang bergantung kepada Emil Forsberg, antara seorang pemain sayap berbakat di Eropah.

"Saya adalah peminatnya, dia pemain yang hebat," jelas pertahanan Jerman, Mats Hummels ketika ditanya mengenai pemain Sweden yang dilihatnya mampu tersenarai dalam skuad juara bertahan itu.

Pertahanan Bayern Munich, Hummels dan rakan sepasukannya juga akur dengan kemampuan Forsberg. 

Pemain berusia 26 tahun itu hadir ke Russia selepas mengharungi dua musim luar biasa  Bundesliga bersama RB  Leipzig.

Pada awal Sabtu ini di Stadium Fisht, dia akan tampil menentang Jerman yang turut menampilkan rakan sepasukannya, Timo Werner.

Jerman hadir awal ke Sochi untuk menyesuaikan diri dengan cuaca panas dan mahu melenyapkan andaian wujudnya krisis susulan tewas 0-1 kepada Mexico pada aksi pembukaan.

Sebaliknya Sweden yang mengejutkan Itali dalam aksi playoff untuk layak, bertandang ke sebuah resort di Gelendzhik dengan motivasi tinggi selepas menundukkan Korea Selatan 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 11:43 AM