GRANQVIST mahu rakan sepasukan menjadi lebih kuat di pertahanan dan sangat kukuh. FOTO/AFP
GRANQVIST mahu rakan sepasukan menjadi lebih kuat di pertahanan dan sangat kukuh. FOTO/AFP
AFP

GELENDZHIK, Russia: Menjelang pertemuan penting Kumpulan F bersama Jerman pada Sabtu ini, kapten Sweden, Andreas Granqvist berkata dia “terkejut” dengan taktikal yang dipamer juara bertahan Piala Dunia itu susulan kekalahan 0-1 mereka kepada Mexico.

Pertahanan Jerman dibolosi serangan Mexico, menyebabkan pasukan bimbingan Joachim Loew itu berada di bawah tekanan sebelum pertemuan dengan Sweden yang menewaskan Korea Selatan 1-0 pada Isnin lalu.

“Jerman kelihatan agak menyerang dan Mexico melakukan beberapa perubahan, melakukan sedikit perubahan dengan mengetengahkan strategi dua lawan satu dan tiga lawan dua,” kata pemain berumur 33 tahun itu.

“Ia sedikit mengejutkan saya yang mereka tidak lagi mempunyai keseimbangan dalam pasukan, mereka mungkin mengubah perkara itu ketika menentang kami,” katanya.

“Kami rasakan sudah tentu Jerman adalah pasukan pilihan untuk memenangi kumpulan tetapi kini mereka mempunyai lebih banyak cabaran, untuk memenangi dua perlawanan berturut-turut,” katanya.

Ditanya jika skuad Janne Andersson bakal meniru gaya kerja Mexico, Granqvist berkata Sweden “tidak bermain seperti mana Mexico bermain”,

“Kami tidak mempunyai jenis pemain yang sama, kami perlu menjadi lebih kuat di pertahanan dan sangat kukuh”.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 12:22 AM