Philippe Coutinho. FOTO EPA-EFE/AFP
Philippe Coutinho. FOTO EPA-EFE/AFP
Reuters

SOCHI, Russia: Brazil dilihat bergelut dalam aksi pembukaan Piala Dunia tetapi kegagalan mereka menewaskan Switzerland bukan bermakna mereka kini harus menekan butang panik bagi melangkah ke pusingan seterusnya, kata pemain tengahnya, Philippe Coutinho.

Brazil seri 1-1 dengan Switzerland dan jurulatih Tite menegaskan kebiasaannya lima mata sudah cukup untuk membolehkan pasukan mara ke pusingan kalah mati.

Namun Coutinho berkata, mereka tidak menetapkan aksi kedua Kumpulan E menentang Costa Rica - pasukan yang tewas 0-1 di tangan Serbia dalam aksi pertama mereka - sebagai perlawanan wajib menang, Jumaat ini.

“Kami tidak pernah berbincang mengenainya (perlawanan wajib menang),” katanya kepada wartawan selepas sesi latihan.

“Kami berbincang selepas perlawanan lalu bahawa kami perlu menunjukkan peningkatan. Semua perlawanan seperti final, apatah lagi pada Piala Dunia. Kami perlu bertanggungjawab dan meletakkan pasukan di tempat sepatutnya.

“Perlawanan ini penting dan kami sedang memburu tiga mata.

“Kami berbincang mengenai kemungkinan dan cara untuk layak serta meraih mata, kami ada bermesyuarat mengenainya tapi kami akan beraksi di padang dengan sasaran memburu kemenangan,” kata pemain tengah Barcelona itu.

Juara dunia lima kali itu adalah antara pasukan pilihan untuk menjulang trofi tetapi Coutinho memberi amaran kepada penyokong supaya tidak terlalu memberi harapan tinggi kepada pasukan.

“Semua perlawanan sukar,” katanya. “Kebanyakan penyokong memikirkannya kerana kami adalah Brazil, kemenangan itu mudah buat kami dan mampu menjaringkan banyak gol.

“Namun, hari ini semua pasukan lebih bersiap sedia untuk Piala Dunia. Itu adalah mesej yang kami gunakan sejak perlawanan pertama lagi. Kami perlu 110 peratus untuk melakar kemenangan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 1:01 PM