PETKOVIC (tengah) bangga dengan pencapaian anak buah mengikat Brazil 1-1. FOTO/AFP
PETKOVIC (tengah) bangga dengan pencapaian anak buah mengikat Brazil 1-1. FOTO/AFP
Reuters

ROSTOV-ON-DON, Russia: Jurulatih Switzerland, Vladimir Petkovic berkata skuad kendaliannya layak diberi lebih pengiktirafan selepas mengikat juara dunia lima kali, Brazil 1-1 dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia, awal pagi tadi.

“Saya berharap mereka mula memandang tinggi, mula menyedari kehadiran kami dan melihat kami sebagai pencabar yang serius,” kata Petkovic dengan pasukannya turut mengikat Sepanyol 1-1 pada aksi pemanas badan.

“Kadang kala, ada kekurangan pengiktirafan dan ia menyedihkan.

“Bermain menentang Brazil dan Sepanyol, kami menunjukkan yang kami boleh memberi tindak balas dan pasukan ini sentiasa percaya dengan diri sendiri dan boleh menghasilkan keputusan baik.

“Kami akan terus bermain dengan tahap konsisten seperti ini.”

Switzerland hanya tewas satu daripada 12 perlawanan kompetitif sejak Euro 2012 iaitu perlawanan kelayakan di tempat lawan bertemu juara Eropah, Portugal.

“Saya berharap kami akan lakukan apa yang kami tidak lakukan ketika menentang Portugal, iaitu kami bermain dengan corak permainan kami,” katanya.

“Saya fikir pasukan menunjukkan keinginan yang hebat, dan saya amat-amat gembira. Pada separuh masa pertama, kami berdepan beberapa kesukaran, apabila kami tidak dapat melakukan seperti apa kami mahukan seperti latihan dan kami menjemput lawan untuk menjadi merbahaya.

“Pada babak kedua, saya memberitahu mereka supaya tenang, fokus, percaya dengan diri sendiri dan terus memberi tekanan di atas padang, mencipta peluang untuk menjaringkan gol dan itulah yang kami lakukan.”

Lawan Switzerland dalam Kumpulan E selepas ini adalah Serbia dan Costa Rica.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 2:10 AM